suria

10,000 Orang Kunjungi Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Kira-kira 10,000 orang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediaman rasminya Sri Satria di sini.

Kunjungan orang ramai disambut oleh Muhyiddin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman sejak pukul 11 pagi.

Antara yang hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Selain itu Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Leo Moggie, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam, turut kelihatan.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak.

Selain menikmati juadah, para tetamu dan orang ramai dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian daripada artis tempatan pada majlis itu.

Muhyiddin dan isteri kemudiannya mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Presint 10, di sini.

Ketibaan mereka disambut oleh Mohd Sidek dan isteri Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin yang tiba-tiba kira-kira pada pukul 4.15 petang.

Kedua-dua mereka meninggalkan majlis itu kira-kira sejam kemudian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain