suria

BN Perak Siap Sedia Bantu Jentera Pilihan Raya DUN Galas

LUMUT: Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Perak bersiap sedia membantu jentera pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan bagi memastikan kerusi yang kini disandang PAS dapat dirampas semula.

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sudah menjadi amalan parti untuk menghantar sebilangan anggota ke mana-mana kawasan pilihan raya kecil untuk membantu jentera kempen.

"BN Perak seperti biasa akan menghantar sebilangan anggota parti mengikut keperluan ke DUN Galas untuk membantu merampas kembali kerusi tersebut daripada PAS.

"Kita akan berganding bahu dengan jentera parti di sana bagi mengenal pasti masalah penduduk setempat sekaligus menyelesaikan masalah tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Peringkat Kebangsaan Ke-3 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2010 di Seri Manjung, di sini hari ini.

Beliau berkata pilihan raya kecil ini merupakan medan terbaik BN untuk menunjukkan hanya parti ini sahaja yang terbaik itu mentadbir Kelantan.

Pilihan raya kecil DUN itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS Chek Hashim Sulaima, 46, di Kuala Lumpur pada Isnin lepas akibat barah usus.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan hari penamaan calon dan pengundian.

Sementara itu, Zambry yang juga Menteri Besar Perak dalam ucapannya turut berjanji untuk menberikan bantuan berupa peruntukan tahunan kepada Persatuan Bekas TLDM itu dan sedia mempertimbangkan permohonan mendapatkan sebidang tanah bagi projek tanaman kelapa sawit.

"Kerajaan negeri sedia membantu anggota persatuan yang sebelum ini cukup berjasa menjaga keamanan negara. Bagaimanapun jumlah bantuan termasuk keluasan tanah yang dipohon itu masih belum diputuskan lagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain