suria

Dadah RM1.2j Dirampas, Pelajar Antara Ditahan

SHAH ALAM: Lapan pelajar termasuk lima warga asing ditahan sementara dadah bernilai lebih RM1.2 juta turut dirampas dalam serbuan berasingan.

Polis menahan sepasang adik beradik warga Bulgaria atas kesalahan cubaan menyeludup 4.6 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM1.1 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.30 malam, 1 September yang lalu.

Keesokan harinya, polis menahan enam orang pelajar termasuk tiga warga Nigeria di sebuah asrama institusi pengajian tinggi swasta dan merampas 1.3 kg dadah jenis heroin bernilai RM80,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata suspek adik beradik yang ditahan berusia 26 dan 19 tahun yang ditahan oleh pegawai narkotik masih lagi menuntut di sekolah menengah di Doha.

Polis menemui dua beg berisi 2.2 kg dan 2.4 kg disyaki syabu, katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Menurutnya, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah menyerbu asrama in USJ pada pukul 6 petang, 2 September lalu.

"Dua warga Nigeria berusia 22 dan 33 tahun bersama tiga pelajar warga tempatan, berumur antara 19 hingga 24 tahun turut ditahan ketika serbuan dijalankan.

"Dalam satu lagi serbuan berasingan, kami menahan seorang lagi warga Nigeria di kawasan berhampiran. Ketika serbuan polis merampas 89 paket heroin," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai masalah pelajar asing yang menjadi pengedar dadah dan mempengaruhi pelajar tempatan supaya menjadi keldai dadah.

Nordin berkata, beliau telah menghantar pasukan polis bagi memantau aktiviti pengedaran dadah di kalangan pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta di negara ini.

Semua suspek direman hingga 8 dan 9 September ini. Mereka disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, polis menahan lelaki India berusia 25 tahun atas cubaan menyeludup 1.9 kg ketamin bernilai RM57,000 pada pukul 10 malam, 1 September lalu di KLIA.

Ketamin ditemui dalam sebuah kotak kayu yang dibalut dengan kertas karbon bagi mengelakkan ia dikesan oleh alat pengimbas di lapangan terbang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain