suria

Tengku Merjan Dakwa Adindanya Diperalat

PETALING JAYA: Konflik Istana Kelantan terus mencetuskan polemik apabila kekanda sulung Sultan Kelantan, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra mendakwa adindanya, Tengku Rozan Sultan Yahya Petra diperalat Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad.

Beliau berkata, tindakan Tengku Rozan mempertahankan Abdul Halim jelas sekali bagi menutup kesalahan pegawai berkenaan yang sebelum ini didakwa berbohong apabila menyatakan beliau telah menghadap Tuanku Ismail Petra beberapa kali.

"Saya hairan mengapa dia (Tengku Rozan) nak pertahankan sangat Datuk (Abdul) Halim, nampak sangat dia sudah diperalatkan dalam hal ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Selain itu, Tengku Merjan turut mendakwa Tengku Rozan sengaja berbohong dalam isu berkenaan bagi melindungi Abdul Halim kerana adindanya itu tidak turut serta dalam rombongan perubatan Sultan Kelantan ke Singapura.

"Macam mana dia kata Datuk Halim melawat tuanku, dia sendiri tak ikut ke Singapura sedangkan saya berada di sana sejak awal sehingga kami pulang ke Kelantan.

"Sekarang kita semua dapat lihat siapa yang berbohong, sebelum ini Datuk Halim sudah berbohong, sekarang dia pula berbohong bagi menutup kesalahan Datuk Halim," katanya.

Media hari ini melaporkan Tengku Rozan yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri menggesa Tengku Merjan supaya tidak mencampuri urusan pentadbiran Pejabat Sultan Kelantan.

Tengku Rozan yang juga Ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan turut menyangkal dakwaan Tengku Merjan bahawa Abdul Halim berbohong apabila menyatakan beliau telah menghadap Tuanku Ismail beberapa kali sama ada di Kelantan mahupun Singapura.

Beliau mengesahkan Abdul Halim pernah menghadap Tuanku semasa baginda dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 4 Mei lalu dan semasa baginda dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Bagaimanapun Tengku Merjan sekali lagi menegaskan Abdul Halim sememangnya tidak pernah menghadap Sultan Kelantan walaupun dititahkan beberapa kali.

Malah katanya ketika baginda menitahkan supaya Abdul Halim menghadap sebelum sambutan Hari Keputeraan pada 29 Mac lalu, beliau tidak muncul-muncul sehingga hari ini.

Ditanya sama ada beliau ada berhubung dengan Tengku Rozan bagi mendapatkan penjelasan dan sekaligus menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku ini, beliau berkata: "Biarlah dia, saya tak nak besar-besarkan lagi perkara ini.

"Saya tak mahu kerana orang luar kami adik beradik berselisih faham dan berbalah."

Tuanku Ismail Petra berangkat ke Hospital Mount Elizabeth pada 15 Julai lepas untuk rawatan susulan bagi penyakit jantung baginda dan pulang ke Istana Mahkota di Kubang Kerian pada 21 Julai lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain