suria

332 Koperasi Gulung Tikar Sejak 2006

KUALA LUMPUR: Sebanyak 332 koperasi telah gulung tikar atau dibatalkan pendaftaran mereka sepanjang 2006 hingga setakat ini tahun ini, Dewan Negara diberitahu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, pelbagai langkah telah diambil oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia termasuk memberi bimbingan dan bantuan bagi mengelakkan koperasi daripada dibatalkan.

"Kita memang tidak mahu mereka ini gulung tikar atau dibatalkan pendaftaran. Tetapi setelah pemantauan dan bimbingan dibuat, memang didapati 332 koperasi ini sudah tidak dapat dibantu lagi," katanya ketika menjawab soalan Senator Ahamat@Ahmad Yusup.

Menurut beliau, koperasi yang rugi akan dibantu melalui program seperti pembangunan perniagaan, bantuan kewangan dan pinjaman mudah.

"Tahun lepas, kementerian telah memberikan geran bantuan pembangunan berjumlah RM15 juta kepada 231 buah koperasi manakala sebanyak RM78.1 juta diberikan kepada 163 koperasi melalui pinjaman mudah di bawah Tabung Modal Pusingan bagi mengelakkan koperasi dibatalkan pendaftaran," katanya.

Selain itu, koperasi yang bermasalah tadbir urus akan dibantu untuk memperbaiki tadbir urus melalui khidmat nasihat oleh SKM di peringkat negeri dan wilayah.

Dalam pada itu, Rohani berkata, sebab-sebab koperasi dibatalkan adalah disebabkan dorman, tiada aktiviti dan kedudukan kewangan yang lemah, anggota koperasi tidak berminat meneruskan pendaftaran koperasi, mesyuarat anggota lembaga tidak pernah diadakan, koperasi tidak menjalankan apa-apa kegiatan ekonomi, koperasi menjalakan aktiviti skim cepat kaya atau mana-mana aktiviti melanggar undang-undang serta koperasi yang kekurangan anggota iaitu kurang daripada 15 orang anggota.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 941 koperasi tidak membayar dividen kepada anggotanya pada tahun lepas, berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak 1,796 koperasi, 1,833 koperasi (2007), 1,916 koperasi (2006) dan 1,899 (2005). - BERNAMA

Artikel Lain