suria

2,000 Kampung Bakal Dapat Perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar

JELEBU: Kira-kira 2,000 buah kampung di seluruh negara bakal memperolehi perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar pada tahun ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata buat masa ini, lima buah Kampung WiFi ini sudah mendapat perkhidmatan tersebut termasuk di kawasan kampung-kampung baru, tradisional dan rumah panjang.

Kampung-kampung itu termasuk di Sibu, Sarawak, Pulau Banggi di Sabah dan yang kelima, dilancarkan di Kampung Teriang di sini, Sabtu.

"Usaha penyediaan perkhidmatan jalar lebar ini merupakan salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan kadar penembusan jalur lebar kepada rakyat di negara ini seperti yang telah disasarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Rais kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan WiFi di Kampung Teriang.

Najib pada 24 Mac lalu telah melancarkan inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi.

Salah satu daripada enam inisiatif berkenaan ialah pelaksanaan pusat jalur lebar komuniti atas nama PJK yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 615,000 orang di 246 lokasi yang melibatkan peruntukan RM60 juta.

Rais berkata bagi mencapai matlamat penembusan jalur lebar, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang berusaha meluaskan perkhidmatan tersebut kepada seluruh rakyat.

Beliau berkata kadar penembusan jalur lebar di negara ini adalah sangat baik sehingga boleh mencapai 50 peratus tidak lama lagi.

"Perkhimatan jalur lebar kini mendapat permintaan yang tinggi daripada rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain