suria

100 Posmen Sampaikan Kek, Cenderahati Kepada PM Tanda Penghargaan

PUTRAJAYA: Seratus posmen hari ini menzahirkan rasa syukur dengan langkah penstrukturan semula gaji mereka dan kerani pos yang berkuatkuasa bulan ini, dengan menyampaikan sebuah kek serta cenderahati berupa potret Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang lengkap dengan logo 1Malaysia sempena ulang tahunnya yang ke-57, kepada beliau di sini, Jumaat.

Mereka yang mewakili warga Pos Malaysia dari seluruh negara itu menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri terhadap perlaksanaan skim gaji yang memang dinantikan mereka sejak 18 tahun lalu.

Mereka sama-sama menyanyikan lagu Selamat Harijadi kepada Perdana Menteri sebaik sahaja Najib yang tiba pada kira-kira pukul 8.30 pagi di kawasan lobi tempat letak kereta pejabat Perdana Menteri, disambut oleh Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Aseh Che Mat.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Datuk Syed Faisal Albar.

Ahmad Radzuan Mohd Safri, 26, posmen yang bertugas di pejabat pos serahan Bandar Baru Bangi, Selangor ketika ditemui pemberita berkata beliau gembira kerana dapat menyampaikan sendiri ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri.

Katanya pengstrukturan semula gaji itu membolehkan mereka menikmati skala gaji yang sama dengan kakitangan kerajaan yang lain, sekaligus akan mencetuskan semangat mereka untuk berusaha lebih keras bagi meningkatkan produktiviti.

April lepas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan penyusunan semula tangga gaji dan elaun posmen serta kerani pos agar selaras dengan penjawat awam lain, berkuatkuasa Julai.

Rais berkata langkah itu berikutan gaji pokok posmen dan kerani pos pada masa ini boleh dikatakan sebagai di bawah paras kemiskinan, dan langkah itu membolehkan lebih 9,000 posmen mendapat kenaikan gaji 11 peratus. - BERNAMA

Artikel Lain