suria

212,143 Pelajar Ikuti Ujian Program Pintar UKM

KUALA LUMPUR: Seramai 212,143 orang pelajar sekolah mengikuti ujian program pelajar pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak ia dilaksanakan pada Mac 2008, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, daripada jumlah itu 4,682 orang pelajar terpilih menduduki ujian kedua menerusi laman web dengan pengawasan guru dan pengawai pendidikan daerah.

"Daripada ujian kedua itu pula seramai 405 pelajar terpilih untuk mengikuti program perkhemahan cuti sekolah Program Pintar di Fakulti Pendidikan UKM dari 28 November hingga 17 Disember lepas," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr Syed Husin Ali.

Liew berkata, program itu bertujuan mengenal pasti pelajar pintar, cerdas dan berbakat pada peringkat awal untuk dikembangkan potensi mereka secara optimum, dan menurutnya di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Pertama RM7.3 juta diperuntukkan buat program itu.

"Ia melibatkan kos operasi perkhidmatan, program perkhemahan cuti sekolah bagi pelajar yang berjaya melepasi ujian saringan dan penggubalan kursus-kursus yang diadaptasi dari Center for Talented Youth, Johns Hopkins University, Amerika Syarikat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain