suria

28 GRO Asing Ditahan Di George Town

GEORGE TOWN: Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) menahan 28 pelayan pelanggan (GRO) warga asing selepas menyerbu sebuah pusat hiburan di Lorong Madras di sini awal pagi tadi.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, SAC II Datuk Wan Abdullah Tunku Said berkata serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu dibuat hasil intipan beberapa minggu lepas berikutan maklumat orang ramai mengenai pusat hiburan yang menawarkan perkhidmatan GRO rakyat asing.

"Hasil pemeriksaan, polis menahan 22 GRO warga China, empat warga Indonesia dan dua warga Vietnam serta seorang rakyat tempatan dipercayai ibu ayam," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka berusia lingkungan 25 hingga 36 tahun didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di sini di samping turut menawarkan khidmat seks dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Pihak polis juga sedang menjejaki pemilik premis untuk siasatan lanjut, walaupun premis ini mempunyai lesen perniagaan yang sah tetapi beliau telah melanggar kesalahan dengan melindungi dan menggaji warga asing bekerja tanpa permit," katanya.

Wan Abdullah berkata kesemua yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Juru untuk tindakan selanjutnya.

"Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1963, kerana kesalahan tidak mempunyai pasport yang sah dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun, denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya serta sebatan. - BERNAMA

Artikel Lain