suria

Istana Kelantan: Hishammuddin Menghadap Raja Perempuan Petang Ini

PETALING JAYA: Selepas kira-kira dua minggu media melaporkan insiden dakwaan berlakunya kekasaran anggota polis terhadap Raja Perempuan Kelantan, hari ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijadual menghadap Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Mahkota, Kubang Kerian.

Difahamkan kunjungan Hishammuddin itu bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung dakwaan berkenaan serta untuk menjelaskan kepada Raja Perempuan mengenai tindakan menggunakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) semasa membawa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) baru-baru ini.

Kakanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Almarhum Sultan Yahya Petra berkata, beliau dimaklumkan Hishammuddin memohon untuk menghadap Tengku Anis di Istana Mahkota petang ini.

"Memang benar beliau ada mohon untuk menghadap Raja Perempuan Kelantan petang ini.

"Saya rasa pertemuan berkenaan ada kaitan dengan beberapa insiden yang melibatkan Raja Perempuan baru-baru ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Pada 12 Mei lalu, media melaporkan dakwaan bahawa Tengku Anis bahawa baginda telah dikasari oleh pihak berkuasa ketika menziarahi Sultan Kelantan di HUSM.

Laporan media berkenaan turut menyiarkan beberapa keping gambar kecederaan yang kononnya dialami Tengku Anis bagi membuktikan dakwaan tersebut.

Sebelum itu, akhbar juga menyiarkan dakwaan Tengku Merjan bahawa berlaku insiden tolak-menolak ketika Tengku Anis mahu menziarahi Tuanku Ismail ketika baru dibawa ke HUSM untuk mendapatkan rawatan.

Artikel Berikut

Artikel Lain