suria

UPP Rampas 30kg Dadah Bernilai RM6 Juta Di Bukit Kayu Hitam

ALOR SETAR: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Changloon Bukit Kayu Hitam merampas dadah jenis heroin seberat kira-kira 30 kg dengan nilai pasaran hampir RM6 juta serta menahan seorang lelaki dalam sekatan jalan raya di KM15.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah ke selatan, petang semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata dalam sekatan jalan raya kira-kira 2.40 petang itu, sepasukan anggota UPP menahan sebuah kereta jenis Toyota Corona yang menggunakan nombor pendaftaran Thailand.

"Kereta itu dipandu seorang warga Malaysia berusia 47 tahun, yang berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang tetapi kini menetap di Hadyai, Thailand dan menjalankan perniagaan makanan bersamanya isterinya, seorang warga Thai di wilayah selatan negara jiran itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan itu, anggota UPP menjumpai serbuk warna putih yang disembunyikan dalam tempat tayar gantian di bonet belakang kenderaan itu.

"Serbuk tersebut dibungkus dengan kertas kuning keperangan dipercayai dadah jenis heroin sebanyak 74 ketulan mampat dengan anggaran nilai setiap satu RM80,000. Heroin ini dikenali sebagai 'heroin base' dan bernilai tinggi.

"Hasil siasatan awal, dadah itu dipercayai diseludup masuk untuk diedarkan di Pulau Pinang. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata lelaki itu telah dibawa ke balai Bukit Kayu Hitam dan kini ditahan reman sehingga 25 Mei bagi membantu siasatan dan semakan rekod jenayah menunjukkan suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau, antaranya terlibat dalam kes samun dan jenayah kekerasan.

"Selain itu, turut dirampas adalah kenderaan terbabit, wang tunai RM1,088 dan Baht RM3,850 serta tiga telefon bimbit. Siasatan lanjut sedang dibuat untuk mengetahui berapa kali dadah itu pernah dibawa masuk," katanya.

Syed Ismail berkata bagi kes rampasan heroin, kes semalam adalah yang terbesar di Kedah pada tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain