suria

Anwar Dihadapkan Ke Jawatankuasa Hak Kebebasan Parlimen 8 Jun

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada 8 Jun ini bagi membela diri berhubung dakwaannya konsep 1Malaysia diilhamkan Apco Worldwide, perunding Amerika Syarikat yang sama di belakang kempen One Israel.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh berkata sebarang cadangan dan pandangan yang dibuat jawatankuasa berhubung perkara itu akan dirujuk semula kepada Dewan Rakyat bagi membuat keputusan.

"Saya merasakan beliau wajar diberi peluang yang adil bagi membela dirinya. Beliau juga mungkin dibenarkan membawa saksi-saksinya namun itu bergantung kepada keputusan jawatankuasa," katanya selepas menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa itu di Parlimen di sini hari ini.

Karpal Singh yang juga salah seorang anggota jawatankuasa itu berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan turut dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

Mesyuarat itu dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Selain Karpal, lima lagi anggota Parlimen menganggotai jawatankuasa itu iaitu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Datuk Seri Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) dan R. Sivarasa (PKR-Subang).

Pada 22 April lalu, Dewan Rakyat memutuskan melalui undian suara untuk merujuk Anwar kepada jawatankuasa tersebut berikutan usul yang dibentangkan oleh Mohamed Nazri. Apco Worldwide telah menafikan dakwaan Anwar.

Menurut Apco, kerajaan Maaysia menggunakan khidmat mereka selepas konsep 1Malaysia diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dakwaan penglibatan firma itu dalam kempen One Israel adalah palsu. -BERNAMA

Artikel Lain