suria

Agong Berangkat Ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat ke Masjid Negara malam tadi untuk meraikan majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Amanah Al-Wariseen.

Baginda turut bersembahyang Maghrib dan Isyak beserta ribuan hadirin.

Majlis diserikan dengan bacaan qasidah oleh Rektor (B) Universiti Al-Azhar, Prof Dr Ahmed Omar Hashem dan diikuti syarahan yang disampaikan oleh Penasihat Agama Emiriah Arab Bersatu, Prof Dr Ahmad Al-Kubaisi.

Majlis diteruskan dengan bacaan Maulud yang dipimpin oleh tokoh agama dari Singapura, Habib Hassan Mohammed Salim Al-Attas dan berakhir dengan sembahyang Isyak serta bacaan doa selamat yang diketuai oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad.

Majlis sambutan tersebut merupakan kali ketujuh anjuran Amanah Al-Wariseen iaitu sebuah badan amanah persendirian.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan Pengerusi Amanah Al-Wariseen, Syeikh Maulana Afeef Uddin Abdul Qader Al-Gailani. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain