suria

Kesatuan Sekerja Mahu Pindaan Akta Buruh Dibuat Secara Profesional

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam memastikan pindaan terhadap tiga perundangan teras buruh dilakukan secara profesional.

Setiausaha Agung TWU, Datuk Zainal Rampak pindaan bukan sahaja perlu dilakukan untuk menyesuaikan dengan persekitaran perniagaan sekarang dan masa depan, tetapi juga bagi melindungi hak dan kepentingan pihak majikan dan pekerja.

Beliau merujuk kepada rang undang-undang Akta Kesatuan Sekerja 1959 (TUA), Akta Perhubungan Perindustrian 1967 (IRA) dan Akta Pekerajaan 1955 (EA) yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat Julai nanti.

Mengenai TUA dan IRA, Zainal berkata, beliau menganggap cadangan pindaan adalah tidak progresif dan bakal mendatangkan lebih banyak masalah dan bukan menyelesaikan masalah.

"Terutamanya ia akan menghakis hak pekerja. Ini akan mendatangkan kemarahan dan rasa tidak gembira pekerja dan bukan menjadikan mereka lebih produktif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beliau hairan mengapa kementerian berkaitan tidak membentangkan cadangan pindaan kepada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan untuk dibincang dan diputuskan.

Tindakan terburu-buru kementerian untuk melaksanakan pindaan tidak selaras dengan strategi yang termaktub dalam Polisi Buruh Kebangsaan, dakwa Zainal. - BERNAMA

Artikel Lain