suria

156 Sekolah Agama Berdaftar Sebagai SABK

KLANG: Sebanyak 156 sekolah agama telah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kebanyakan daripada sekolah-sekolah itu adalah di Selangor, Perak dan Kelantan, katanya pada majlis perasmian Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di sini yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pendaftaran 23 buah sekolah agama di Selangor sebagai SABK amat dibanggakan dan diharap ia menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk menjadikan kira-kira 10 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi yang ada di negeri itu sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Beliau memohon perkenan Sultan Selangor supaya Sekolah Agama Menengah Negeri Selangor yang belum berdaftar agar didaftarkan sebagai SABK dan diletakkan sebaris dengan sekolah-sekolah lain dalam sistem pendidikan arus perdana.

"Mudah-mudahan dengan perkenan Tuanku selaku Ketua Agama Islam di negeri Selangor, ia akan mendorong lebih banyak lagi sekolah agama berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, " katanya.

Beliau berkata program pendaftaran sekolah-sekolah agama dengan Kementerian Pelajaran bertujuan membela sekolah-sekolah agama khususnya Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang semakin dihimpit pelbagai masalah sehingga ada yang terpaksa ditutup.

Menerusi program SABK, sekolah-sekolah ini diberi bantuan termasuk geran bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan yang meliputi aspek pengurusan sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan sumber manusia serta prasarana dan kemudahan fizikal.

Murid-murid SABK juga menerima bantuan makanan, buku teks dan bantuan lain selain diberi peluang bersaing dengan murid-murid di sekolah aliran perdana dalam sebarang aktiviti Kementerian Pelajaran sama ada berbentuk kurikulum ataupun kokurikulum.

Sebahagian daripada pelajar-pelajar SABK telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah ternama di bawah kementerian seperti Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Teknik dan Kolej Matrikulasi.

Bantuan kewangan yang telah diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada SABK untuk tempoh 2006 hingga sekarang ialah RM216.2 juta.

"Walaupun SABK berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, program ini bersifat tempatan, iaitu anak negeri diutamakan untuk belajar di sekolah yang telah berdaftar berbanding murid-murid dari negeri-negeri lain," kata Muhyiddin.

Katanya pihak berkuasa negeri seperti Jabatan Agama Islam Selangor pula masih lagi mempunyai tanggungjawab dan peranan di sekolah terutama sekali dalam memastikan keberkesanan pengajaran mata pelajaran agama yang merupakan identiti sekolah sejak sekian lama.

Pengarah JAIS Datuk Mohamed Khusrin Munawawi dalam ucapannya pada majlis itu berkata permintaan pelajar untuk memasuki sekolah aliran agama di Selangor meningkat saban tahun.

"Ketika ini JAIS hanya mampu menerima 4,000 pelajar baru setiap tahun berbanding dengan seramai 35,000 pelajar yang memohon," katanya.

Oleh itu, JAIS memohon supaya Kementerian Pelajaran membina Sekolah Menengah Agama di tapak yang telah diwartakan di Pandan Indah, Paya Jaras, Seksyen 7 Shah Alam, Bukit Jelutong dan Bandar Baru Bangi. - BERNAMA

Artikel Lain