suria

APMM Selamat Sembilan Kru Bot Tunda Di Perairan Tenggol

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan sembilan kru sebuah bot tunda yang ditahan enam lelaki berhampiran Pulau Tenggol, di perairan Terengganu, awal pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam APMM, Faridah Shuib berkata, bot tunda itu dilapor ditahan enam lelaki rakyat Indonesia yang menggunakan sebuah bot kira-kira pukul 10.25 malam tadi di perairan Terengganu.

Bot tunda berdaftar di Singapura yang membawa sebuah baj itu dalam perjalanan dari Sungai Serong, Indonesia menuju ke Mahachai, Thailand, sebelum ditahan sebuah bot dinaiki enam lelaki terbabit.

"Kapal Maritim (KM) Nusa dari Daerah Maritim Kuala Terengganu berjaya menemui bot tunda itu kira-kira pukul 1.25 pagi.

"Setelah diperiksa didapati semua kru selamat tetapi perompak telah melarikan peralatan komputer, telefon bimbit dan wang tunai kru tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, semua kru bot tunda dan baj itu dibawa ke Pelabuhan Dungun untuk membuat laporan polis.

Kes rompakan itu merupakan kejadian kedua dilapor berlaku di perairan Pulau Tenggol dalam masa tidak sampai dua minggu. Pada 19 April lepas, sebuah kapal dagang dirompak sekumpulan 12 lelaki bersenjata kira-kira tiga batu nautika dari pulau berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain