suria

MyCoID Kurangkan Masa Mulakan Perniagaan Kepada Tiga Hari

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif Nombor Identiti Korporat Malaysia - MyCoID, akan memainkan peranan utama ke arah mengurangkan masa untuk memulakan perniagaan berdasarkan piawaian Bank Dunia daripada 11 hari kepada 3 hari.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu merupakan satu lagi langkah ke hadapan yang pasti akan menaikkan lagi ranking Malaysia dalam World Competitive Report.

"Sebab salah satu daripada kategorinya ialah untuk memudahkan urusniaga, melibatkan selama mana masa yang diperlukan untuk memulakan sesebuah perniagaan.

"Jadi, dengan pintu masuk yang akan kita wujudkan yang akan memakan masa kira-kira enam bulan, dan peruntukan tambahan telah diumumkan bererti bahawa menjelang akhir tahun ini, kita akan dapat mencapai piawaian memulakan perniagaan dalam masa tiga hari," katanya kepada pemberita selepas melancarkan MyCoID, 1 Identiti Korporat, di sini hari ini.

MyCoID merujuk kepada nombor syarikat yang akan digunakan sebagai satu siri nombor rujukan tunggal untuk kegunaan pelbagai urusan pendaftaran dan urusan dengan agensi kerajaan yang berkaitan.

Lima agensi yang terlibat ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan SME Corp. Malaysia.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Najib berkata dengan peruntukan tambahan yang diluluskan sebanyak RM4.5 juta, pembangunan sistem pintu masuk di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan membolehkan pendaftaran secara serentak dilakukan dengan lima agensi pelaksana itu.

"Mereka telah mencapai satu jam untuk pendaftaran perniagaan, satu hari untuk pendaftaran syarikat, sekarang kita nak ubah (kepada) tiga hari untuk memulakan perniagaan.

"Jika mereka daftar dengan SSM, semua agensi itu akan dapat maklumat tentang pendaftaran mereka, dan mereka boleh proses permohonan mereka itu," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Najib berkata MyCoID merupakan satu titik permulaan ke arah merevolusikan kaedah pendaftaran yang melibatkan antara agensi kerajaan pada skala lebih baik namun tetap memudahkan rakyat.

Katanya urusan pendaftaran dan rujukan di agensi yang terlibat akan mengguna pakai hanya satu nombor sahaja iaitu nombor pendaftaran syarikat yang dikeluarkan oleh SSM sebagai nombor rujukan tunggal.

Beliau berkata ia merupakan satu langkah strategik ke arah mempermudahkan amalan perniagaan di Malaysia.

"Saya amat yakin idea dan inovatif MyCoID ini bukan sahaja memudahkan rakyat untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan, malahan juga akan dapat membantu mempertingkatkan aktiviti urus niaga domestik yang mampu menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

"Pencapaian ini merupakan satu bentuk tindakan menongkah arus yang wajar dicontohi oleh semua," katanya.

Najib berkata hasil sokongan terhadap inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi melalui pemberian diskaun bayaran fi bagi tujuan pemerbadanan syarikat, pendaftaran milikan tunggal dan perkongsian, telah menghasilkan pertambahan ketara pendaftaran perniagaan (milikan tunggal dan perkongsian).

Katanya insiatif itu bermula pada 1 April tahun lalu dan berakhir pada 31 Mac ini, dan pertambahan itu dari 269,866 pendaftaran perniagaan pada tahun lalu kepada 312,581 pada tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus.

"Walaupun pemerbadanan syarikat tempatan menyaksikan pengurangan namun ia amat minimum iaitu hanya sebanyak 0.05 peratus iaitu pengurangan daripada 41,599 syarikat yang diperbadankan pada tahun lalu kepada 41,578 pada tahun ini," katanya.

Beliau menyifatkan kejayaan itu adalah memberangsangkan walaupun persekitaran ekonomi global bersifat lembap pada tahun lalu dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menguncup.

Katanya pertumbuhan pendaftaran perniagaan masih mampu mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan pada kadar dua digit iaitu 16 peratus manakala kadar pemerbadanan dan pendaftaran syarikat baru masih berada pada tahap stabil. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain