suria

Zambry Mahu Wujud Kerajaan Negeri Terbaik Untuk Rakyat Perak

IPOH: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada Selasa lepas menguatkan lagi semangat dan perjuangannya untuk mewujudkan sebuah kerajaan negeri terbaik untuk rakyat negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan mempedulikan tentangan politik keterlaluan sebaliknya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan negeri dan rakyat.

"Semalam pula saya difahamkan ramai rakyat berpuasa dan membuat kenduri kesyukuran. Saya ingin katakan di sini kemenangan itu bukan kemenangan Dr Zambry tetapi ia adalah kemenangan seluruh rakyat," katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran dan perhimpunan rakyat yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini hari ini.

Ketika ditanya pemberita selepas itu mengenai dakwaan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham bahawa beliau tidak ikhlas ketika membuat kenyataan kerajaan BN sentiasa bekerjasama dengan semua pihak untuk membangunkan negeri dan rakyat, Zambry berkata anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan itu lebih mengetahui siapa ikhlas dan siapa yang tidak.

"Saya nak tanya, adakah dia betul-betul ikhlas ketika pakatan pembangkang memerintah negeri 11 bulan yang lepas?," katanya.

Zambry turut mempersoalkan syarat pembangkang yang mahu kerajaan negeri pimpinannya membenarkan Adun pembangkang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah.

"Sebelum ini ketika Barisan Nasional jadi pembangkang dengan mempunyai 28 Adun kenapa mereka tidak memasukkan kami sebagai Adun di dalam jawatankuasa berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain