suria

Dua Anggota Geng Roy Ditembak Mati

SHAH ALAM: Polis menembak mati dua penjenayah warga Indonesia yang dipercayai anggota 'Geng Roy' di Puncak Perdana, Puncak Alam di sini kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, suspek dikenali sebagai Don, 30 dan Ferdi, 20.

"Don dipercayai adik kepada Roy merupakan ketua geng penjenayah itu yang juga mati ditembak polis di Jalan Merak Kesuma, Kayangan Height di sini pada Ogos tahun lepas," katanya.

Khalid berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat.

Kedua-duanya ditembak berhampiran kawasan tangki air yang dipercayai sering digunakan mereka sebagai tempat transit setiap kali sebelum dan selepas mereka melakukan kegiatan pecah rumah.

"Pada mulanya anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang mendapat maklumat tentang mereka telah bergegas ke sebuah tangki air di kawasan berhampiran dan menemui sebuah motosikal yang ditinggalkan suspek.

"Tiba-tiba muncul dua lelaki di situ dan mereka enggan menyerah diri apabila diarah berbuat demikian. Mereka sebaliknya menyerang polis dengan dua bilah parang," katanya kepada pemberita. Khalid berkata, polis terpaksa menembak mati kedua-dua suspek yang bertindak agresif dan meluru ke arah anggota polis.

Beliau berkata, turut ditemui di tempat kejadian ialah beberapa bilah pedang buatan sendiri, topeng muka, pemutar skru, alatan pemotong dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah mereka.

Katanya, motosikal yang digunakan kedua-dua suspek juga didapati sebagai motosikal curi.

Dengan tumpasnya kedua-dua suspek katanya, polis percaya dapat menyelesaikan 17 kes samun dan pecah rumah di sekitar Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain