suria

21 Kaki Judi Diberkas Ketika Asyik Sabung Ayam

KULIM: Hampir 50 kaki judi yang sedang asyik menyabung ayam bertempiaran lari apabila polis menyerbu pusat aktiviti mereka di satu kawasan di atas sebuah bukit di Junjong, dekat sini, malam tadi.

Seramai 21 lelaki termasuk penganjur berjaya diberkas dalam kawasan semak oleh polis Kulim dan dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah yang melancarkan operasi pukul 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Mohd Salleh berkata penganjur judi itu yang berusia 40-an dipercayai menganjurkan judi sabung ayam secara bergerak.

"Kumpulan sindiket sering mengubah lokasi tempat berjudi untuk mengelak daripada dikesan polis dan cuma peminat mereka sahaja mendapat tahu lokasinya," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Ghuzlan berkata enam ekor ayam sabung dan peralatan menyabung ayam dirampas dalam serbuan itu.

Katanya polis mengambil masa agak lama untuk mengesan sindeket itu yang dipercayai turut menjalankan aktiviti mereka di Seberang Perai Utara dan Seberang Prai Selatan serta Pulau Pinang.

Mereka yang ditahan, berusia 28 hingga 45 tahun, direman selama tiga hari mulai hari ini dan disiasat mengikut Akta Judi Rumah Terbuka (AJRT), kata Ghuzlan. BERNAMA

Artikel Lain