suria

130 NGO Islam Dan Rela Bersama Pantau Keselamatan Gereja

KUALA LUMPUR: Sebanyak 130 badan bukan kerajaan (NGO) bersama Ikatan Relawan Rakyat (RELA) hari ini menyatakan komitmen untuk menjadi "mata dan telinga" kerajaan dalam menangani sebarang ancaman ke atas rumah ibadat penganut agama Kristian.

Antara NGO yang terlibat dalam inisiatif sukarela itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Badan Tarbiah Sejagat (BATAS), Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS), Pertubuhan Peribumi Semenanjung (PERKASA), Darussyifa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Islamic Information and Services Foundation (IIS).

Setakat ini, inisiatif itu berjaya mengumpulkan seramai 60 sukarelawan bagi menjalankan pengawasan dan pemantauan di kawasan gereja sekitar Lembah Klang mulai hari ini.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan yang mewakili NGO terbabit berkata inisiatif itu diambil bagi membantu usaha kerajaan untuk memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata sukarelawan terbabit akan menghubungi RELA jika didapati ada sesuatu yang mencurigakan berlaku di kawasan gereja, yang kemudian akan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Katanya jumlah anggota sukarelawan akan ditambah tidak lama lagi bagi membolehkan keselamatan gereja di setiap negeri dan daerah diawasi.

Nadzim berkata satu perbincangan secara menyeluruh akan diadakan bersama beberapa NGO bukan Islam esok bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam memastikan keselamatan gereja.

Mengenai pengawasan di masjid-masjid, beliau berkata perkara itu akan turut diberi pertimbangan memandangkan ancaman bukan sahaja melibatkan gereja malah rumah ibadat umat Islam juga mungkin terancam. Sementara itu, Pengarah RELA Selangor Kol. Khairi Mohd Alwee berkata RELA bersedia memberi komitmen untuk mengawasi setiap gereja di sekitar Lembah Klang.

"Bagaimanapun kami turut meminta orang ramai agar samasama membantu menghubungi pihak kami jika didapati ada individu yang mencurigakan dan boleh memberi ancaman kepada gereja," katanya.

Orang ramai yang ingin melaporkan sebarang kejadian ancaman boleh menghubungi nombor 019-2333086 atau 019-3591000. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain