suria

UPP Rampas 23,100 Keping DVD Dalam Kereta Terbalik

PADANG BESAR: Cubaan menyeludup 23,100 keping cakera padat digital (DVD) ke Thailand melalui jalan pintas gagal apabila kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan terbabas dan terbalik dalam kawasan sawah di Kampung Sena, dekat sini, hari ini.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman, berkata pemandu kereta tersebut gagal mengawal kenderaan apabila anggota UPP mengejarnya sejauh dua kilometer menghala ke sempadan.

Katanya, UPP mengesan kenderaan itu di kampung berkenaan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 11.45 pagi dan semasa cuba ditahan, pemandunya telah memecut kenderaan.

Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan berjaya melarikan diri dari tempat kejadian dan anggota UPP menemui 24 kotak yang berisi DVD pelbagai tajuk bernilai RM231,000.

Katanya pihaknya juga merampas kereta penyeludup, jenis Proton Wira tanpa cukai jalan, bernilai kira-kira RM7,000.

Sebelum itu, UPP Padang Besar merampas 1,400 liter minyak petrol subsidi dalam sebuah kebun getah di Felda Mata Ayer, dekat sini, setelah melakukan intipan selama 40 minit di kawasan itu.

Zakaria berkata, berdasarkan maklumat, pasukan UPP melakukan pemeriksaan di kawasan itu dan menemui 38 tong minyak petrol bernilai RM2,520, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan.

Beliau percaya lokasi itu dipercayai menjadi tempat transit sebelum bekalan minyak itu diseludup ke negara jiran. - BERNAMA

Artikel Lain