suria

20 Motosikal, Sebuah Kereta Terbakar Angkara Khianat

PULAU PINANG: Sebanyak 20 buah motosikal dan sebuah kereta terbakar dalam satu kebakaran di tepi bangunan letak kenderaan bertingkat di flat Taman Sri Pinang awal pagi ini, dipercayai perbuatan khianat.

Pegawai Operasi Kebakaran Balai Bomba Jalan Perak, Hamdan Harun berkata, kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu disedari salah seorang penduduk di kawasan berkenaan dan kemudiannya memaklumkan kepada bomba.

"Pihaknya yang menerima panggilan telefon daripada penduduk di situ bergegas ke tempat kejadian dan mendapati api sedang marak, 20 buah motosikal dan sebuah kereta yang di letak di kawasan berkenaan hangus terbakar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran dalam masa tiga minit dan pihaknya turut menyelamatkan kenderaan lain yang berada berhampiran kawasan kejadian daripada terbakar.

"Kita masih menyiasat punca kejadian dan jumlah keseluruhan kerugian akibat kebakaran berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Seri Pinang, Mohd Ishak Baba yang ditemui mendakwa, kawasan perumahan berkenaan merupakan kawasan hitam yang menjadi tumpuan remaja liar melepak dan berkumpul.

"Kawasan perumahan ini sering kali berlaku kecurian dan merosakkan harta awam walaupun JKKK menempatkan beberapa pengawal keselamatan di setiap blok di kawasan flat ini," katanya yang kecewa dengan kejadian berkenaan.

Katanya, JKKK juga mendapat kerjasama daripada polis bagi memantau dan membuat rondaan keselamatan penduduk di kawasan itu bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan bagi menyiasat dan mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.

"Kita tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada khianat, bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain