suria

3 Politeknik Primer Keluarkan Diploma Lanjutan dan Ijazah Tahun Depan

PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, politeknik di negara ini akan menawarkan pengajian peringkat diploma lanjutan, sarjana muda dan sarjana.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai permulaannya, tiga politeknik yang diiktiraf sebagai politeknik premier dan pusat kecemerlangan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan dipilih menawarkan kursus-kursus peringakt itu.

Katanya, tiga politeknik tersebut akan diumumkan pada awal tahun depan.

"Tiga politeknik tersebut akan memberi tumpuan kepada niche area tertentu. Mungkin kita akan benarkan industri jadikan politeknik itu sebagai tempat latihan. "Ia juga akan mengamalkan kurikulum yang ditetapkan oleh industri," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu dan pelancaran buku bertajuk 'Pembangunan pelajar: Memperkasakan Kokurikulum Institusi Pengajian Tinggi' di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, politeknik hari ini hanya menawarkan sijil peringkat diploma walaupun ia merupakan satu institusi penting dalam sektor teknikal dan vokasional.

"Jika seseorang yang masuk sektor teknikal (di politeknik), dia akan berhenti setakat diploma dan tidak mempunyai masa depan yang besar," katanya.

Tambahnya terdapat 27 politeknik di seluruh negara yang menawarkan kemahiran teknikal dan vokasional.

Mohamed Khaled menjelaskan politeknik-politeknik itu akan seterusnya dijadikan sebagai pusat kecemerlangan yang terlibat dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

"Usaha kerajaan memantapkan sektor teknikal dan vokasional negara itu penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.

"Usaha sedemikian juga dapat melahirkan rakyat yang berkemahiran tinggi," jelasnya.

Mengenai kriteria-kriteria pemilihan politeknik premier tersebut, katanya, antaranya termasuk persediaan dan kemampuan politeknik itu menyediakan program, kursus dan tenaga pensyarah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain