suria

1MF1T-Lotus Mampu Bawa Cabaran Negara - Tony

KUALA LUMPUR: Prinsipal pasukan Formula Satu 1Malaysia-Lotus (1MF1T-Lotus), Datuk Seri Tony Fernandes yakin pasukan itu mampu memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan pada musim baru tahun depan.

Ini kerana katanya, pasukan itu mempunyai tiga pelumba hebat iaitu Jarno Trulli, Heikki Kovalainen dan Fairuz Fauzy serta pasukan pengeluar yang hebat dan bekerja keras.

"Ia adalah tugas yang berat. Ia tidak mudah kerana kami membina setiap bahagian kereta lumba tersebut. Kira-kira 8,000 bahagian kesemuanya.

"Selain itu, semuanya berkeadaan baik. Semua ujian pelanggaran telah lulus, enjin dan kotak gear sudah bersedia, casis telah dibuat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas persediaan pasukan 1MF1T-Lotus sedangkan tempoh yang ada hanya tiga bulan sebelum musim baru Formula One (F1) di Bahrain.

Jentera 1MF1T-Lotus dijangka siap dipasang pada pertengahan bulan depan sementara ujian dijalankan pada pertengahan bulan Februari ini.

Sementara itu Tony berharap, pasukannya itu akan menjadi yang terbaik di kalangan pasukan baru F1.

"Adalah kurang rasional jika kita letak sasaran berada dalam kelompok lima atau sepuluh teratas buat masa ini. Semestinya, adalah terbaik untuk berada dalam kelompok 10 teratas atau pasukan teratas di kalangan pasukan baru.

"Pastinya, kami mempunyai pasukan yang hebat. Sesetengah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang saya terima daripada pasukan-pasukan lain menunjukkan kami mempunyai barisan pelumba yang baik. Tiga pelumab berkaliber seperti pasukan lain," katanya.

Tony berharap pasukannya mendapat sebuah kereta yang berkuasa, tetapi akur ia memerlukan sedikit masa sebelum jentera lumba itu mencapai prestasi optimum.

"Sama seperti AirAsia bermula dengan dua pesawat, lapan tahun kemudian, kini AirAsia memiliki 90 pesawat," katanya.

Kata Tony, peraturan-peraturan baru F1 kelak turut berpihak kepada pasukan-pasukan baru.

"Untuk musim baru ini, kereta perlu berbeza daripada kereta musim lalu. Jadi, ini memberi peluang kepada pasukan-pasukan baru.

"Tangki minyak yang baru, tiada lagi pengisian minyak, tayar juga diubah agar mempunyai lebih banyak hentian (pit stop). Banyak faktor berpihak kepada kami," katanya.

"Sebagaimana yang selalu saya katakan, kita mempunyai peluang untuk menang. Atau berada dalam kelompok lima atau sepuluh teratas. Ia bukan lagi satu mimpi. Mimpi itu hampir menjadi realiti dengan tiga pelumba hebat kita," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain