suria

172 Lagi Polis Sukarela Akan Bertugas Di Lembah Klang Mulai Esok

BANGI: Seramai 172 anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang tamat menjalani latihan tujuh minggu sebagai anggota polis sukarela hari ini, akan ditempatkan bertugas di kawasan panas di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Kesemua 124 anggota Rela dan selebihnya anggota JPAM itu akan memulakan tugas mereka di kawasan yang dikenalpasti sering menjadi sasaran utama penjenayah itu esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata polis sentiasa memantau pencapaian mereka dalam membanteras jenayah terutama di kawasan panas.

Sehingga hari ini seramai 490 anggota JPAM dan Rela telah dilatih sebagai anggota polis sukarela sejak Ogos lepas, katanya kepada pemberita selepas menutup Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Kepolisan Rela dan JPAM di Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia (ALPHA) di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, polis belum menimbang untuk membekalkan senjata api kepada anggota JPAM dan Rela yang bertugas sebagai polis sukarela di ibu negara kerana penggunaan senjata api memerlukan kemahiran dan latihan dan tidak boleh diguna oleh sebarang orang. "Kita tidak menggalakkan kerana ia sangat bahaya untuk diri sendiri mahupun orang ramai. Kami belum menjadikan latihan penggunaan senjata api sebagai sebahagian daripada modul kursus ini. Mereka kini hanya dibekalkan 'tbaton'," katanya.

Beliau berkata kedua-dua pasukan itu akan dilibatkan dalam operasi bersepadu polis ke arah mengurangkan jenayah jalanan.

Usaha mewujudkan polis sukarela ini adalah selaras dengan usaha pencegahan jenayah, yang merupakan satu daripada Bidang Hasil Utama Negara (NKRA) di bawah Kementerian Dalam Negeri iaitu untuk mengurangkan 20 peratus jenayah jalanan pada 2010.

Polis mensasarkan seramai 3,000 anggota polis sukarela akan dilatih bagi membantu polis menjalankan tugas membuat rondaan cegah jenayah di 157 kawasan panas di seluruh negara yang membabitkan ibu negara, Selangor, Johor dan Pulau Pinang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain