suria

Yang Dikatakan Politik Sebenar...

`The real politics' - Inilah ungkapan paling sesuai yang boleh digunakan apabila Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menerima semula jawatan yang dilepaskannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai naib presiden yang bertanggungjawab ke atas Sabah dan Sarawak.

Kelmarin, Jeffrey menerima tawaran pelantikan semula sebagai Naib Presiden PKR selepas hampir dua bulan melepaskannya bersama jawatan lain termasuk ahli Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak serta ahli Majlis Tertinggi (MT).

Beliau bertindak demikian ekoran tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk pucuk pimpinan parti yang membuat keputusan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin peringkat negeri berkenaan.

Ramai melihat tanda-tanda `perdamaian' antara Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jeffrey itu sebagai usaha memulihkan keretakan hubungan antara PKR pusat dan Sabah yang berpunca daripada pelantikan Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua perhubungan negeri yang baru oleh pemimpin 'de facto' berkenaan. Ironinya, Jeffrey tidak meninggalkan terus parti pembangkang itu tetapi kekal sebagai ahli walaupun ada ura-ura beliau merancang menubuhkan parti baru dengan nama Parti Perpaduan Rakyat Sabah atau Parti Pakatan Bersatu Sabah demi kelangsungan karier politiknya.

Kerana itu ada penganalisis politik berpendapat, semuanya ini adalah strategi Anwar-Jeffrey yang mahu merencanakan politk Sabah. Mungkin benar, siapa tahu. Dan akhirnya Jeffrey dalam nada yang lebih yakin berkata: "Sekarang masa untuk teruskannya, tiada sebab untuk saya menolak pelantikan ini (sebagai Naib Presiden) semula dengan tugas tambahan jika ia termasuk mengiktiraf hak kami," katanya.

Beliau juga menggambarkan pelantikan semula sebagai satu tanggungjawab yang besar.

"Inilah yang dikatakan politik sebenar," tegas Ketua Program Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman kepada mStar Online.

Dalam 'politik sebenar' para pelakonnya adalah ahli politik. Ia umpama permainan yang ada kalah atau menang, paling tidak situasi menang-menang yang jarang sekali berlaku.

Begitu juga bagi senario 'perdamaian' itu, tiada anggapan lain, melainkan hanya permainan politik kerana politik diungkapkan sebagai seni serba mungkin.

Masing-masing ada kepentingan yang memungkinkan mereka hari ini berantakan, sebaliknya berpeluk-pelukan keesokan harinya.

Apa pun, Anwar sedar bahawa Jeffrey - yang habis belajar dari pusat pengajian tinggi tersohor, Universiti Harvard - tidak boleh diketepikan begitu sahaja untuk survival politik PKR di Sabah.

Warna-warni politik beliau sememangnya menarik, pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) kerana dituduh berkomplot dalam cubaan memisahkan Sabah dari Malaysia sebelum dibebaskan pada tahun 1994.

Beliau juga tersohor sebagai ahli politik yang paling kerap lompat parti iaitu PBS, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR Bersatu) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Malah pada tahun 2003, beliau memohon untuk bernaung di bawah Umno tetapi permohonannya ditolak.

Dan yang paling penting, persamaan Anwar-Jeffrey ialah, mereka pernah ditahan di bawah ISA, tetapi yang membezakan mereka Anwar tidak kerap melompat parti.

Politik Sabah sememangnya sinonim dengan nama keluarga Kitingan. Abang Jeffrey, Datuk Joseph Pairin Kitingan merupakan peneraju Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kini merupakan komponen Barisan Nasional (BN), malah beliau pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ketujuh dari April 1985 hingga Mac 1994.

Jeffrey yang juga Ketua PKR Bahagian Keningau sendiri mencabar abangnya pada Pilihan Raya Umum 2008 bagi merebut kerusi Parlimen Keningau tetapi malangnya beliau tewas.

Apa pun keadaannya, kedua-dua tokoh politik ini membawa nama Kitingan dan masih relevan dalam politik Sabah. Oleh kerana itu, Anwar terus memerlukan Jeffrey kerana auranya masih ada dan pengaruhnya kuat di Sabah. Penasihat PKR itu tidak ada pilihan lain kerana tahu kekuatan keluarga Kitingan perlu ditagih jika mahu melihat parti itu terus bertapak di negeri itu.

Anwar terpaksa mengetepikan apa jua anggapan termasuk cakap-cakap bahawa Jeffrey tidak disenangi salah satu atau kesemua tiga pemimpin serangkai 3A - Anwar; Presiden, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan seorang lagi Naib Presiden, Azmin Ali.

Dalam hal itu, Zaini berpendapat, Jeffrey diperlukan sebagai penggerak sebenar PKR di Sabah dan Sarawak kerana mereka melihat peluang untuk merampas kedua-dua negeri di Borneo itu masih ada dan potensi penggeraknya ialah adik Joseph itu sendiri.

Katanya, apa yang diperlukan ialah PKR mesti memenangi hati rakyat di sana, sementelahan pemerintah Sarawak dilihat semakin lemah di bawah teraju Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi BN negeri itu walaupun selepas hampir 30 tahun sebagai ketua menteri.

Di Sabah pula, rakyat di sana dikatakan gemar dengan percubaan selepas memberi peluang kepada DAP memenangi kerusi Sri Tanjong. Walaupun satu tetapi, pembangkang dilihat berjaya menjadi pengimbang kepada kerajaan negeri yang dikuasai BN.

Lebih-lebih lagi selepas polemik yang dicipta Anwar bahawa ramai Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Sabah dan juga Sarawak akan melompat parti kononnya tidak berpuas hati dengan pelantikan dalam Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seterusnya menjatuhkan BN di negeri itu, menimbulkan kegemparan di kalangan komponen BN.

Di sinilah Jeffrey terus diperlukan Anwar.

"Momentum seperti itu, yang pernah merisaukan BN amat diperlukan oleh Anwar, dan Jeffrey dilihat mampu melaksanakan di Sabah walaupun hakikatnya sangatlah minimum," jelas Zaini lagi.

Pucuk pangkalnya, Anwar perlukan Jeffrey dan begitulah sebaliknya. Kedua-dua tokoh veteran politik ini pasti mempunyai kepentingan tertentu, ada agenda tersendiri yang hanya mereka sahaja yang tahu.

Sudah pasti ada janji-janji yang diberikan antara mereka yang amat bercita-cita tinggi melangit - mahu jadi ketua negara dan ketua negeri. Ini semua kemungkinan-kemungkinan yang tidak dapat dinafikan kerana politik adalah 'seni yang serba mungkin'.

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain