suria

276 Kes Gangguan Seksual Di Tempat Kerja Dilaporkan Sejak 1999

KUALA LUMPUR: Sebanyak 276 kes gangguan seksual di tempat kerja dilaporkan kepada Kementerian Sumber Manusia sejak Kod Amalan Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di tempat kerja dilancarkan pada 17 Ogos 1999.

"Daripada jumlah itu, 271 bilangan kes gangguan seksual diselesaikan manakala baki lima kes masih dalam siasatan," kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan semasa menjawab soalan Senator Loga Chitra pada persidangan Dewan Negara di sini.

Mengulas lanjut Maznah berkata, terdapat lima jenis gangguan seksual iaitu berbentuk lisan, isyarat, visual, psikologi dan fizikal.

Menjawab soalan tambahan Loga yang meminta penjelasan mengenai tindakan undang-undang sedia ada untuk melindungi gangguan seksual, Maznah berkata, terdapat undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah terbabit.

"Mereka yang disabit kesalahan melakukan perkara seperti mengeluarkan perkataan dan isyarat seperti yang dimaksudkan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara hingga tempoh lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain