suria

Ronnie Liu tidak hirau arahan polis - Saksi

PETALING JAYA: Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu Tian Khiew didakwa engkar dan tidak menghiraukan arahan polis malah mencabar kuasa polis untuk menahan beliau ketika diminta beredar dari lobi sebuah hotel di Puchong pada 2007.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya DSP Lim Meng Seah memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini beliau telah memperkenalkan diri kepada Liu dan meminta kerjasamanya untuk beredar bagi membolehkan anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjalankan tugas penguatkuasaan.

"Liu tidak mematuhi arahan saya dan mencabar saya dengan berkata mana ada kuasa polis untuk menyuruh pelanggan keluar walaupun saya telah menerangkan akibat perbuatannya itu," kata Lim yang merupakan saksi pendakwaan kedua.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin adakah Lim mengetahui mengapa pihak MPSJ hendak menutup hotel itu, beliau berkata: "Ya, saya mengetahuinya kerana sehari sebelum kejadian iaitu 1 November 2007 hotel itu telah diserbu polis kerana disyaki menjalankan kegiatan pelacuran."

Liu yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor didakwa bersubahat menghalang pegawai penguatkuasa MPSJ, Mohammad Hadzim Zulkapli, menjalankan tugas di Hotel Chile yang terletak di No: 10, Jalan Kenari 6, Puchong dekat sini, 2 Nov 2007.

Liu, 50, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pandamaran didakwa didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 jika disabitkan kesalahan.

"Kerana keengganannya saya terpaksa menangkapnya dan membawa Liu ke balai untuk siasatan lanjut atas kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas," kata Lim.

Katanya, Liu masih enggan memberi kerjasama kepadanya dan anggota polis ketika di bawa keluar menuju ke kereta polis.

"Saya terpaksa menggarinya dan mengheret Liu ke dalam kereta polis selepas dia memberi tentangan dan tidak memperdulikan arahan saya," katanya.

Terdahulu, saksi pendakwaan pertama, jurugambar, Lans Koperal K.Ganapathi berkata beliau tidak mengetahui sama ada penahanan Liu bermotifkan politik apabila ditanya oleh peguam bela Liu, Gobind Singh Deo.

Perbicaraan di hadapan Majistret Mohammad Ibrahim Mohammad Ghulam disambung 5 April tahun depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain