suria

Rais: Larangan rakam gambar ketika Negaraku dinyanyikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menguatkuasakan larangan pengamal media daripada menjalankan kerja-kerja merakamkan gambar ketika lagu Negaraku dinyanyika pada majlis-majlis rasmi kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu diambil memandangkan perbuatan mengambil gambar ketika Negaraku dinyanyikan adalah perbuatan tidak menghormati Lagu Kebangsaan.

Jelas Rais, walaupun peraturan tersebut telah diperkenalkan sebelum ini, namun tidak dikuatkuasakan.

"Selepas hari ini kita (kementerian) akan kuat kuasakannya. Kita akan minta pegawai kerajaan memantau pergerakan jurugambar dan jurukamera supaya tidak ada seorang pun mengambil gambar dan memetik flash kamera ketika Negaraku dimainkan (dinyanyikan)," kata beliau pada sidang media selepas perasmian logo 1Malaysia di Dataran Merdeka hari ini.

Ditanya apakah bentuk tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar, Rais berkata:

"Kalau ingkar kita akan minta mereka dengan segala hormatnya tinggalkan dewan. Mereka boleh ambil gambar dalam bilik yang disediakan."

Dalam perkembangan lain mengenai logo 1Malaysia, Rais berkata logo itu hasil karya dan ilham kementerian berkenaan serta agensi di bawahnya sejak konsep 1Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada April lepas.

Menurutnya, reka bentuk itu dipilih kerana ianya mudah difahami dan boleh menjadi tarikan kepada semua lapisan masyarakat.

"Maka kita lambangkan satu itu terus menerus dan Perdana Menteri turut mencadangkan sendiri bahawa dalam petak satu itu boleh diletakkan pelbagai simbol atau representasi supaya maknanya perihal (menghuraikan) kepada pihak berkenaan," katanya.

Rais berkata, promosi logo 1Malaysia akan diperluaskan kesemua negeri, parti politik dan juga institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

"Kementerian juga memperkenalkan lagu tema 1Malaysia pada Rabu depan, yang dipilih daripada beberapa buah lagu yang telah disenaraipendekkan," katanya.

Katanya irama lagu tersebut juga akan mengandungi adunan beberapa genre mewakili masyarakat majmuk Malaysia.

Artikel Lain