suria

18 penghuni pusat serenti larikan diri didakwa

BUTTERWORTH: Lapan belas penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor, yang melarikan diri dari pusat itu semasa rusuhan pada 19 Jun lepas, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram dan menyebabkan kebinasaan kepada tujuh blok bangunan di situ.

Tertuduh ialah B.Sivasangar, 37; Mohd Zulkifli Hassan, 29; Mohd Imanuddin Shamsul Rahman Khan, 22; J.Murugesan, 28; Baharuddin Chandili, 34; Zuhaimi Sudin, 38; Khairul Anuar Mahmud, 32; Mohd Hasrul Hassan, 27; Salleh Faisal, 43; Selbin Jalil, 29; Noor Azrin Azman, 31; Mohd Imran Mahad, 36; Mohd Nizam Abu Bakar, 29; Mohd Norhasmi Taib, 32; Mohd Sarihan Abdul Samad, 28; Abdul Rahman Abdul Hamid, 26; Mohamad Azizi Abdul Rahman, 27 dan Sharian Yahya, 30.

Mereka dituduh secara bersama-sama sebagai ahli kepada satu perhimpunan haram dan dalam mencapai tujuan bersama telah melakukan khianat dengan api untuk menyebabkan kebinasaan kepada tujuh blok bangunan iaitu bangunan pentadbiran, setor, dewan utama, kompleks terapi komuniti, pejabat aktiviti, balai pegawai bertugas dan pos polis bantuan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira 6.30 petang, 19 Jun 2009 menurut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 149 Kanun yang sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, setiap seorang daripada mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Seorang daripada tertuduh kemudiannya memohon kepada mahkamah supaya mereka ditahan di Penjara Alor Setar sementara menunggu prosiding selanjutnya kerana keadaan persekitaran yang tidak selesa di penjara Pulau Pinang dan ada di antara mereka yang menghidap penyakit kronik serta dijangkiti HIV.

Hakim Julie Lack Abdullah kemudiannya menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu bagi mendapatkan laporan Jabatan Bomba dan memberi masa kepada semua tertuduh untuk melantik peguam masing-masing.

Hakim juga memerintahkan mereka ditahan di Penjara Pulau Pinang sementara menunggu prosiding itu.

Pendakwaan bagi kes ini dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Yusaini Amer Abdul Karim. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain