suria

11 lagi kes baru A(H1N1) di kesan

PUTRAJAYA: Sebanyak 11 kes baru Influenza A(H1N1) dikesan di negara ini setakat pukul 8 pagi tadi, yang melibatkan lapan kes import baru dan tambahan tiga jangkitan tempatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata daripada lapan kes itu, lima melibatkan warganegara Malaysia dan tiga rakyat asing dari Ireland, Australia dan Filipina.

Kes jangkitan tempatan pula melibatkan dua warganegara Malaysia dan seorang rakyat Yemen.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 91 kes iaitu 77 kes import dan 14 kes jangkitan tempatan.

Daripada jumlah itu 35 kes sudah sembuh dan selebihnya masih menerima rawatan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata mengenai jumlah sekolah yang ditutup pula, masih kekal empat buah.

Liow berkata kes ke-81 dikesan terhadap wanita warga Malaysia berumur 27 tahun yang mula dijangkiti demam semasa berada di Phuket, Thailand pada 19 Jun lepas, kembali ke Malaysia melalui Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dengan penerbangan AirAsia, AK823 pada 21 Jun.

Mangsa kemudian meneruskan penerbangan ke Pulau Pinang dengan pesawat AK5368 sebelum dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 22 Jun, empat daripada kontak telah dimasukkan ke Hospital Alor Setar manakala tujuh lagi dikuarantin rumah.

Kes ke-82 pula membabitkan pelancong warga Australia berusia 26 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Kuching dari Singapura pada 22 Jun dengan menggunakan penerbangan Jetstar 3K529.

Seramai 18 penumpang menaiki pesawat sama telah dikenalpasti dan diarah dikuarantin di rumah manakala selebihnya masih dikesan.

Sementara kes ke-83 pula membabitkan lelaki berusia 25 tahun warga Yemen yang merupakan rakan kontak kepada kes ke-63.

Seorang kanakkanak warga Malaysia tetapi tinggal di Cyprus berusia sembilan tahun pula menjadi kes-84, dia tiba di negara ini pada 20 Jun menggunakan pesawat Emirates Airlines, EK346, kini menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan semua kontak keluarga seramai lapan orang kini sedang menjalani kuarantin rumah.

Kes seterusnya membabitkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun warga Ireland yang bercuti di Malaysia pada 21 Jun lepas, tiba di Pulau Pinang melalui pesawat Silk Air M1 358, seramai 11 kontak sudah dihubungi dan dikuarantin.

Kes ke-86 dan ke-87 membabitkan seorang wanita warga Malaysia berusia 29 tahun dan seorang lelaki juga rakyat tempatan berumur 21 tahun.

Wanita itu kembali ke Malaysia dari Thailand melalui Lapangan Terbang Pulau Pinang dengan pesawat AirAsia AK5368 dan kini sedang dirawat di Hospital Alor Setar dan kesemua kontak sudah dikenalpasti.

Sementara itu lelaki tersebut pula tiba di KLIA dari Australia dengan pesawat AirAsia D7 2723 dan semua kontak masih dikesan.

Kes ke-88 pula membabitkan wanita berusia 21 tahun warga Filipina tiba di LCCT, Sepang semalam melalui pesawat AirAsia AK501. Kementerian Kesihatan masih lagi mengumpul maklumat mengenai kes ini.

Bagi kes ke-89 membabitkan kanakkanak berumur setahun tujuh bulan warga Malaysia yang merupakan kontak kepada kes ke-72, keadaannya dilaporkan stabil dan seterusnya juga membabitkan kontak dengan kes terdahulu iaitu lelaki berusia 24 tahun warga Malaysia yang merupakan kontak kepada kes ke-74.

Kes terakhir yang ke-91, kata Liow membabitkan warga Malaysia yang kembali dari Melbourne, Australia pada 20 Jun dengan pesawat Malaysia Airlines MH128 dan transit di KLIA sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu dan Sandakan, Sabah melalui penerbangan MH2074. BERNAMA

Artikel Lain