GARA-GARA mahu membeli motosikal dan meraikan sambutan hari lahir, dua remaja lelaki di India tergamak membunuh rakan karib sendiri semata-mata untuk mendapatkan rantai emas dipakai mangsa.Lebih kejam, kedua-dua suspek yang masih bawah umur itu didakwa membakar mayat mangsa sebelum merancang helah bagi mengelirukan pihak polis dengan meniru jalan cerita sebuah filem. Dalam kejadian di Thane, Maharashtra itu, mangsa dikenali sebagai Prajyot Kamble, 17, dilaporkan hilang sekitar pukul 7 malam pada 24 September lalu.Menurut polis, bapa mangsa membuat laporan kehilangan anaknya pada keesokan hari sebelum siasatan dijalankan mengikut kes penculikan.Hasil siasatan awal, seorang rakan Prajyot mendakwa remaja berkenaan dilihat menuju ke kawasan Ghodbunder dengan menaiki motosikal bersama seorang lelaki tidak dikenali.Bagaimanapun, pemeriksaan rakaman menerusi 80 hingga 90 kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang laluan berkenaan mendapati keterangan suspek tidak benar.Berikutan itu, polis menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti data lokasi telefon bimbit sebelum membongkar rancangan pembunuhan yang didakwa dilakukan dua rakan karib mangsa.Difahamkan, kedua-dua suspek berpakat untuk merampas rantai emas Prajyot bagi mendapatkan wang, dengan salah seorang mahu meraikan sambutan hari lahir manakala rakannya berhasrat membeli motosikal.Pada hari kejadian, mangsa dipercayai diajak ke kawasan semak yang terpencil berhampiran Brahmand Phase 2 atas alasan untuk menghisap rokok.Namun sebaik tiba di lokasi, kedua-dua suspek didakwa menikam mangsa menggunakan pisau sebelum menghempapnya dengan batu sehingga maut.Tidak cukup dengan itu, mereka dipercayai menyiram petrol pada mayat mangsa sebelum membakarnya bagi menghapuskan bukti jenayah.Dalam usaha mengaburi pihak berkuasa, suspek turut didakwa membuang telefon bimbit mangsa ke dalam sebuah bas supaya pergerakannya sukar dikesan.Menurut polis, perbuatan kedua-dua suspek terlibat dipercayai diilhamkan daripada jalan cerita filem Drishyam yang memaparkan usaha mengelirukan siasatan polis.Bagaimanapun, rancangan berkenaan gagal apabila rakaman CCTV dan bukti teknikal membawa kepada pembongkaran jenayah tersebut.Susulan itu, kedua-dua remaja terbabit ditahan dan mengaku melakukan pembunuhan berkenaan.Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Zon 5, Prashant Kadam menggesa ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti dan pergaulan anak-anak termasuk penggunaan media sosial serta sebarang perubahan tingkah laku mereka. -Agensi