RUSUHAN tercetus di beberapa bandar utama di Perancis pada malam Sabtu, menyaksikan bangunan kerajaan dibakar dan lebih 1,000 individu ditahan pihak polis.Di bandar Limoges yang terletak di tengah Perancis, dewan bandar raya bersejarah itu dilaporkan terbakar, manakala rakaman video menunjukkan bumbung bangunan tersebut runtuh dijilat api. Di Marseille pula, sekumpulan penunjuk perasaan berpakaian hitam menceroboh masuk ke dewan bandar raya sebelum merosakkan bangunan berkenaan.Sementara itu di Lyon, pejabat pelancongan bandar itu turut menjadi sasaran apabila penunjuk perasaan membakarnya, menurut laporan agensi berita Reuters.Keadaan di Paris turut bertukar tegang apabila sekumpulan anak muda mengambil kesempatan selepas demonstrasi berakhir untuk melakukan rompakan di premis perniagaan serta butik mewah.Penunjuk perasaan juga turut membakar beberapa lokasi ketika malam menjelang.Polis bertindak menyuraikan kumpulan terbabit menggunakan gas pemedih mata serta serbuan menggunakan belantan di jalan-jalan sempit sekitar bandar itu.ARTIKEL BERAKAITAN: Protes bertukar ganas! 550,000 penunjuk perasaan mengamuk di jalanan Perancis… Serang bangunan kerajaan, rompak kedaiPerdana Menteri Perancis, Sébastien Lecornu berkata seramai 1,200 individu telah ditahan di seluruh negara susulan kejadian berkenaan.Beliau turut mengecam tindakan ganas yang disifatkannya sebagai 'tidak boleh diterima'.Protes berkenaan berkembang daripada siri perhimpunan besar-besaran yang diterajui pelajar pada bulan lalu, membangkitkan isu kemerosotan mutu pendidikan, peningkatan kos sara hidup serta ketidakpuasan hati terhadap perubahan sosial dan politik yang didakwa tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez berkata kira-kira 550,000 orang menyertai demonstrasi di seluruh negara, termasuk 110,000 orang di Paris.Bagaimanapun, pihak penganjur menganggarkan jumlah kehadiran sebenar adalah lebih tinggi berbanding angka diumumkan kerajaan.Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataannya pada Ahad menasihatkan rakyat Malaysia mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan tidak penting ke Perancis susulan demonstrasi yang sedang berlangsung di bandar-bandar utama negara berkenaan."Walaupun tiada sekatan perjalanan ke Perancis, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting sehingga keadaan bertambah baik."Kementerian menggesa rakyat Malaysia yang menetap di Perancis supaya memastikan Kedutaan Besar Malaysia di Paris mempunyai maklumat perhubungan terkini mereka," katanya.Tambahnya, mereka yang masih belum berdaftar dengan Kedutaan digalakkan untuk berbuat demikian melalui platform e-Konsular Kementerian di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan sekiranya berlaku kecemasan.