suria

Tanah runtuh kali kedua di Taman Bukit Mewah?

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) sedang mengkaji kemungkinan berlaku kejadian tanah runtuh kali kedua di Taman Bukit Mewah, di Bukit Antarabangsa di sini selepas siasatan awal menunjukkan keadaan tanah di kawasan itu "tidak stabil".

Sumber berkata ini dikesan hasil satu siri ujian oleh Unit Forensik Geoteknikal dan keadaan tersebut boleh menyebabkan satu lagi kejadian tanah runtuh.

"Unit itu menggunakan pengimbas 'Real Time Data Sensor' bagi mengesan pergerakan tanah dari masa ke masa.

"Sejak semalam bacaan tidak jelas oleh kerana mereka melakukan ujian mengikut sektor dan kami akan mengumpul semua data berkaitan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

"Komposisi permukaan bumi merupakan campuran tanah dan air yang boleh menyebabkan permukaan itu jadi lembut.

"Kita mahu mengelakkan satu lagi tanah runtuh dan berharap cuaca memihak kepada kita," kata beliau, dan menambah tidak ada sesuatu yang kuat untuk menahan permukaan bumi dari menggelunsur.

Sumber itu juga berkata siasatan unit JKR mengambil kira kewujudan beberapa unit banglo yang pembinaannya terhenti separuh jalan.

Beliau berkata, JKR cuba mendapatkan maklumat lengkap mengenai pembinaan rumah terbengkalai itu dari pemajunya.

"Kita hendak mempastikan sama ada tanaman cerucuk di kawasan itu menyebabkan pergerakan tanah," katanya.

Beliau juga menegaskan hujan lebat akan memburukkan lagi keadaan di kawasan itu. Difahamkan JKR dan IKRAM memerlukan sekurang-kurangnya 12 hari lagi untuk menghasilkan laporan muktamad tentang kajian mereka terhadap kawasan tanah runtuh itu.

Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa itu Sabtu lepas meragut empat nyawa.

Operasi mengesan wanita pembantu rumah Sri Lanka yang dikatakan tertimbus dalam runtuhan itu kini dihentikan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain