suria

Tragedi tanah runtuh: Polis terima 98 aduan

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh enam hari tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa pihak polis telah menerima 98 laporan daripada penduduk.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hanya tiga laporan membabitkan kehilangan atau kecurian harta benda manakala yang lain tidak berunsur jenayah.

"Kita terima hanya tiga sahaja laporan mengenai kehilangan barangan di kawasan yang mengalami runtuhan.

"Tiada lagi laporan lain yang membabitkan kehilangan atau kecurian barang," kata beliau.

"Laporan lain termasuk aduan mengenai kediaman musnah, harta benda rosak dan anjing hilang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, laluan alternatif baru yang dijangka siap petang ini, akan ditutup buat sementara waktu dari 12.30 tengah malam hingga pukul 2 pagi ini kerana kerja penyelenggaraan dan penyelarasan.

Khalid berkata, meskipun operasi mencari dihentikan, polis tidak mengurangkan tenaga kerjanya malah bilangan anggota yang bertugas di kawasan tragedi dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 500 anggota polis bertugas bagi memastikan keselamatan orang awam dan harta benda terjaga.

Dalam pada itu, Rela Selangor menafikan dakwaan bahawa ada antara anggotanya yang bersikap lepas tangan terhadap penghuni di Taman Bukit Mewah yang meminta bantuan selepas terjejas akibat tanah runtuh di situ.

Pengarahnya, Khairi Mohd Alwee berkata, dakwaan itu tidak berasas dan ia sebenarnya adalah rasa tidak puas hati segelintir penduduk yang tertekan.

"Sejak kejadian tanah runtuh berlaku Sabtu lepas seramai 165 anggota Rela dikerah untuk membantu pasukan operasi mencari dan menyelamat dan agensiagensi lain.

"Kami sudah lali dengan segala dakwaan dan cacian yang dilontarkan.

"Kami faham perasaan penghuni dan mangsa yang terpaksa menghadapi keadaan sukar. Kadangkadang mereka marah kita tanpa mengetahui perkara sebenar. Kalau mereka ingin bantuan kami, tolong minta, Rela sedia berkhidmat untuk mereka," katanya di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata Rela mempunyai bidang kuasa tertentu dan perlu mendapatkan kelulusan Ketua Operasi Tanah Runtuh iaitu Khalid untuk bertindak.

Artikel Berikut

Artikel Lain