suria

Pilihan raya kec il Kuala Terengganu 17 Januari

DATUK Wan Ahmad Wan Omar bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Negeri, Datuk Razali Kassim (dua, kanan) yang juga Datuk Bandar Kuala Terengganu menunjukkan peta kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas mengumumkan tarikh pilihan raya kecil bagi kawasan parlimen itu hari ini. -fotoBERNAMA
DATUK Wan Ahmad Wan Omar bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Negeri, Datuk Razali Kassim (dua, kanan) yang juga Datuk Bandar Kuala Terengganu menunjukkan peta kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas mengumumkan tarikh pilihan raya kecil bagi kawasan parlimen itu hari ini. -fotoBERNAMA
DATUK Wan Ahmad Wan Omar bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Negeri, Datuk Razali Kassim (dua, kanan) yang juga Datuk Bandar Kuala Terengganu menunjukkan peta kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas mengumumkan tarikh pilihan raya kecil bagi kawasan parlimen itu hari ini. -fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan pada 17 Januari ini dengan lebih 80,000 pemilih layak mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari sebagai tarikh penamaan calon.

Ia diputuskan dalam mesyuarat khas panel SPR yang dipengerusikan oleh Datuk Wan Ahmad Wan Omar selaku pemangku pengerusinya pagi ini.

SPR akan mengeluarkan writ pilihan raya pada Ahad ini dengan disusuli notis 21 Disember.

SEPINTAS

- Pegawai Pengurus: Datuk Razali Kassim, Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu

- Penolong Pegawai Pengurus: 6 orang

- Tarikh penamaan calon: 6 Januari

- Tarikh pengundian: 17 Januari (Sabtu) - Jumlah pemilih: 80,229 orang

- Pengundi biasa: 79,194 orang

- Pengundi pos: 1,035 orang

- Pusat mengundi: 36

- Saluran mengundi: 143 saluran

- Petugas: 877 orang

Mengenai sebab pemilihan tarikh 17 Januari, beliau berkata: "Tarikh ini dipilih setelah mengambil kira banyak faktor termasuk cuaca."

"Faktor cuaca diambil kira kerana kami juga dapat pandangan Jabatan Kaji Cuaca bahawa keadaan cuaca tidak menentu dalam masa terdekat.

"Kita ada masa 60 hari, jadi tiada sebab hendak cepatkan (pilihan raya)," katanya.

Selain itu, jelas beliau, kira-kira 70 peratus petugas pilihan raya merupakan guru yang telah pun merancang percutian.

"Jadi kita hendak memastikan taklimat kepada petugas tidak terganggu.

"Tarikh 17 Januari sangat sesuai kerana memberi peluang kepada yang terlibat terutama kepada calon-calon untuk membuat persiapan," katanya.

Dalam pada itu, keadaan banjir di Kuala Terengganu dilaporkan bertambah baik pagi ini.

Lebih ramai mangsa telah dibenarkan pulang sejak petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Polis negeri berkata, jumlah mangsa banjir di daerah itu sehingga pukul 8 pagi ini adalah seramai 300 orang berbanding 542 orang petang semalam.

"Ini menunjukkan keadaan banjir di Kuala Terengganu akan pulih seperti biasa dan kesemua mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masingmasing tidak lama lagi," katanya.

Jurucakap itu berkata, kawasan yang masih ditenggelami banjir ialah Taman Pusu Tiga, Taman Desa, Kampung Tok Jiring, Kampung Sungai Pinang, Kampung Bukit Tunggal, Taman Seri Embong dan Wakaf Tembesu.

Pusat pemindahan yang masih dibuka ialah di Sekolah Tok Jiring, Surau Pak Ali Tok Jiring, Balairaya Sungai Pinang, Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal dan Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.

Profil kawasan Parlimen Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kawasan Parlimen Kuala Terengganu adalah satu daripada lapan kawasan Parlimen di Terengganu dan dianggap penting kerana menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sejak Barisan Nasional mengambil alih pemerintahan dua penggal lalu, Kuala Terengganu dinaik taraf menjadi Bandaraya Warisan Pesisir Air, sekali gus merancakkan pembangunannya.

Kepesatan Kuala Terengganu, yang mempunyai keluasan 60,528.1 hektar, dapat dilihat daripada segi pembangunan infrastruktur antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud (LTSM), Kompleks Sukan Gong Badak, Kampus Universiti Darul Iman (UDM), Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Selain itu, Pulau Duyong kini menjadi lokasi pertandingan berprestij kejohanan kapal layar Piala Monsun yang diadakan sejak tahun 2005 manakala Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man menjadi tarikan baru pelancong.

Dua penggal sebelum ini, kerusi Parlimen itu dikuasai PAS.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum ke-11 ia kembali kepada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya Datuk Razali Ismail, bekas Pengarah Pendidikan Bahagian Guru di Kementerian Pendidikan menewaskan Dr Syed Azman Syed Nawawi daripada PAS.

Razali menang dengan majoriti 1,933 undi setelah meraih 30,994 undi berbanding Dr Syed Azman yang memperoleh 29,061 undi.

Pada Mac 2008 pula, kerusi itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila seorang nenek Maimun Yusof, 89, turut menawar diri bertanding sekaligus menjadi calon tertua pernah bertanding pada pilihan raya di negara ini.

Razali, yang ketika itu Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menang lagi dengan majoriti 628 undi setelah memperoleh 32,562 undi berbanding Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu (31,934) dan Maimun (685).

Kawasan Parlimen itu mempunyai 80,325 pengundi dengan majoriti pengundi Melayu sebanyak 87.4 peratus, Cina (11.6 peratus), India (0.7 peratus) dan yang lain (0.3 peratus).

Ia mempunyai empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Ladang serta Batu Buruk yang dikuasai PAS manakala Bandar diwakili BN.

DUN Bandar, yang diwakili oleh bekas jurutera binaan, Toh Chin Yaw daripada MCA, mempunyai seramai 18,953 pengundi dengan komposisi pengundi Melayu 60.66 peratus, Cina (37.95 peratus), India (1.32 peratus) dan lain-lain 0.07 peratus. DUN Wakaf Mempelam mempunyai 20, 573 pengundi; DUN Ladang (16,777 pengundi) dan DUN Batu Buruk (24,022 pengundi).

Ekoran kematian Razali 28 Nov lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Jan depan untuk penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan itu dan 17 Januari sebagai hari pengundian.

BERITA TERDAHULU

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pagi ini bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Mesyuarat dijadual bermula pukul 9.30 pagi tadi dan pengumuman mengenai tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya kecil dijangka dibuat kira-kira dua jam kemudian.

Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi berkata, mesyuarat khas pagi ini akan memfokus tiga perkara penting.

Pertama, pelantikan pegawai-pegawai yang akan mengendalikan pilihan raya termasuk pengurus pilihan raya.

Kedua, pengesahan daftar pemilih terkini dengan mengambil kira proses pembersihan dan kemasukan pemilih baru.

"Kemudiannya kita akan menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan pengundian dengan mengambil kira beberapa perkara," katanya.

"Kami akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil menjelang pukul 11.30 pagi nanti," katanya.

Mesyuarat itu diadakan susulan penerimaan notis mengenai kekosongan daripada Parlimen Isnin lalu.

Pilihan raya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Razali, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, beliau mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada 2004 selepas menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

Ia merupakan pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas, Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain