JOHOR BAHARU: Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz dan barisan exconya perlu mengkaji semula keputusan mereka menolak cadangan untuk mempercepatkan pelan peralihan kuasa pergerakan itu, kata Timbalan Ketua Wanita Umno Johor, Senator Sharifah Azizah Syed Zain.Pandangan beliau bagaimanapun bertentangan dengan pendirian Ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Sadique yang mahukan pelan peralihan kuasa Wanita Umno daripada Rafidah kepada Datuk Shahrizat Abdul Jalil dikekalkan pada Jun tahun depan. "Pergerakan Wanita Umno memerlukan pengorbanan daripada Tan Sri Rafidah Aziz supaya beliau mengkaji semula pelan peralihan kuasa itu dan mempercepatkannya daripada Jun kepada Mac kerana ini akan mengukuhkan lagi perpaduan Wanita Umno," kata Sharifah Azizah di sini hari ini.Semalam, selepas mengadakan pertemuan khas dengan ketua-ketua Wanita Umno bahagian di Johor, Halimah berkata Wanita Umno Johor bersetuju dengan keputusan exco pergerakan itu mengekalkan pelan peralihan pada Jun tahun depan.Bagaimanapun, Sharifah Azizah berkata, tindakan mempercepatkan pelan peralihan kuasa ke Mac akan membantu Shahrizat dalam tugasnya memimpin Wanita Umno dan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke13 nanti.Katanya, jika Shahrizat hanya berstatus pemangkum beliau akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran untuk menggembleng jentera pilihan raya Wanita Umno dan Wanita BN."Apakah yang beliau (Rafidah) boleh lakukan dalam tempoh tiga bulan? Kita harap beliau dapat berkorban untuk kepentingan dan perpaduan Wanita Umno," kata Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kluang.Beliau juga meminta ketua-ketua Wanita Umno negeri supaya tidak mengeluarkan kenyataan secara rambang tentang isu peralihan kuasa pergerakan itu tanpa memastikan ia selari dengan kehendak akar umbi."Saya meminta mereka bersikap jujur. Janganlah membuat kenyataan hanya sematamata untuk menyedapkan satu pihak sahaja," katanya.Ditanya sama ada perbezaan pendapat antara beliau dengan Halimah itu menunjukkan wujudnya perpecahan dalam Wanita Umno Johor, Sharifah Azizah yang tidak hadir pada pertemuan khas Wanita Umno Johor semalam, menafikannya.BERNAMA