suria

ADUN Kuala Nerang muflis kemungkinan pilihan raya kecil

ALOR STAR: Kedah kemungkinan menyaksikan pilihan raya kecil, yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12, berikutan keputusan mahkamah mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim muflis.

Timbalan Pendaftar Najwa Che Mat telah mengisytiharkan Syed Sobri sebagai muflis 3 November lalu.

Syed Sobri dikatakan gagal menjelaskan hutang bank berjumlah RM100,000.

Bagaimanapun Syed Sobri telah mengemukakan rayuan dan permohonannya akan didengar pada 1 Disember ini.

Beliau enggan mengulas apa-apa mengenainya. Sumber-sumber Barisan Nasional (BN) pula memberitahu kes tersebut telah diselesaikan bagi mengelakkan pilihan raya kecil.

Pada 8 Mac lalu, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan kelebihan 805 undi.

Syed Sobri memperoleh 7,856 undi. Speaker Dewan Undangan Negeri, Dr. Abdul Isa Ismail telah mengemukakan surat makluman mengenainya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi The Star di Indonesia mengesahkan ada dimaklumkan perkara tersebut dan ia sedang diteliti.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, adalah baik jika perkara tersebut diselesaikan.

"Kita tidak perlu membazirkan wang dengan mengadakan pilihan raya. Kita boleh fokus kepada soal pembangunan negeri," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain