suria

Veteran Umno mahu diterima sebagai sayap parti

IPOH Majlis Veteran Umno hari ini meluluskan usul meminta agar ia diiktiraf sebagai satu daripada sayap parti itu.

Pengerusinya Tan Sri Tajuddin Ali berkata majlis itu merupakan sebuah badan politik yang terus memperjuangkan bangsa Melayu serta menjadi wadah memperkasakan umat Islam di negara ini.

"Kami mendesak Majlis Tertinggi Umno supaya tidak meminggirkan anggota veteran, malah sepatutnya majlis ini diiktiraf sama seperti sayap lain iaitu Puteri, Pemuda dan Wanita, kerana kami juga berjuang demi Umno," katanya kepada pemberita di akhir perhimpunan agung tahunan kedua majlis itu di sini hari ini.

Pada mesyuarat dua hari itu, Majlis Veteran Umno turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Umno di peringkat akar umbi untuk mengendalikan proses pemilihan parti di peringkat itu.

Tajuddin berkata ia bertujuan mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh cawangan dan bahagian Umno semasa mesyuarat masing-masing.

Antara usul lain yang diluluskan ialah meminta parti menubuhkan Tabung Pembelaan Utusan bagi memberi sokongan kepada akhbar Utusan Malaysia.

"Pembelaan ini perlu kerana keberanian akhbar ini untuk membangkitkan semangat nasionalisme orang Melayu," katanya.

Majlis itu mengusulkan agar satu undang-undang digubal bagi membendung golongan belia daripada terpengaruh kepada pihak tertentu yang mahu melihat keruntuhan umat Islam.

"Kami mengesyorkan agar pendidikan agama dipertingkatkan kepada pelajarpelajar Islam di peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi," katanya.BERNAMA

Artikel Lain