suria

Astro bayar cukai RM12459 dari 2004 hingga 2007

KUALA LUMPUR: Astro telah membayar cukai berjumlah RM124.59 juta dari tahun taksiran 2004 hingga tahun taksiran 2007, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

"Astro telah membayar cukai RM16.19 juta bagi tahun taksiran 2004, RM18.94 bagi tahun taksiran 2005, RM48.91 juta bagi tahun taksiran 2006 dan RM40.55 juta bagi tahun lepas," katanya ketika menjawab pertanyaan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) di persidangan Dewan Rakyat di sini.

Azan telah meminta Kementerian Kewangan mendedahkan jumlah cukai pendapatan yang dibayar oleh syarikat-syarikat televisyen dan penyiaran swasta bagi tahun tahun taksiran 2004 hingga 2007.

Ahmad Husni berkata cukai yang dikenakan adalah berdasarkan kepada pendapatan bersih yang diperolehi di bawah Akta Cukai berdasarkan kepada item yang perlu dibayar.

"Ia bukan berdasarkan kepada berapa bilangan saluran yang dimiliki oleh syarikat tersebut," katanya.

Katanya keuntungan yang dilaporkan oleh syarikat-syarikat televisyen dan penyiaran swasta bagi tempoh taksiran 2004 adalah sebanyak RM141.72 juta, RM317.22 juta pada 2005, RM466.44 juta 2006 dan RM486.25 juta 2007.

Azan juga meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memberi ruang yang munasabah kepada syarikat televisyen dan penyiaran swasta terutama Astro setimpal dengan jumlah cukai pendapatan yang dibayar.

"Ia perlulah berpatutan antara jumlah cukai yang begitu rendah dengan akses kepada membentuk dan mempengaruhi pemikiran rakyat melalui kandungan yang dipaparkan di saluran yang diberikan," katanya.

"Adakah munasabah memberi ruang kepada mereka ini sedangkan cukai yang kita kutip amat rendah berbanding dengan aktiviti lain dalam negara kita," katanya.

Astro katanya merupakan syarikat yang mempunyai akses paling besar terhadap masyarakat melalui 169 saluran, termasuk di dalam dan di luar negara.

Sementara itu, Ir Hamim Samuri (BN-Ledang) turut meminta kerajaan mewujudkan satu peruntukan supaya keuntungan yang diterima disalurkan kepada aktiviti termasuk pengiklanan yang menjurus kepada tanggung jawab sosial.

"Contohnya masalah penyelesaian mat rempit dan sebagainya. Ia adalah sebahagian tanggung jawab pihak penyiaran yang boleh disalurkan melalui iklan dan sebagainya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain