suria

Tiga lelaki ditahan kes dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki berumur antara 28 dan 44 tahun serta merampas sejumlah dadah dipercayai syabu dan heroin dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di Setapak, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata serbuan dibuat oleh sepasukan anggota jabatan itu kira-kira pukul 1.15 pagi selepas menerima maklumat orang awam.

"Ketika serbuan dibuat di bilik mereka yang terletak di tingkat tiga, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri melalui tingkap bilik hotel itu.

"Salah seorang suspek jatuh di kaki lima (hotel) dan mengalami luka di muka dan patah kaki kanan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan di bilik tersebut, polis menjumpai 96 paket heroin seberat 160 gram dan tiga paket syabu seberat 0.5 gram yang bernilai kira-kira RM6,000.

"Sebahagian dadah ini disembunyikan di atas syiling dan selebihnya (disembunyikan) di bawah sofa dalam bilik tersebut," katanya.

Zakaria juga berkata polis tidak menolak kemungkinan bilik hotel itu dijadikan tempat untuk membungkus dadah dan masih menyiasat jika terdapat individu lain yang terlibat dalam kegiatan itu.

"Siasatan awal mendapati dadah yang dibungkus itu adalah untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau seperti samun dan curi selain mengedar dan juga sebagai penagih dadah," katanya.

Ketiga-tiga suspek direman bermula dari tarikh mereka ditahan hingga 3 Okt ini. Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Lain