suria

Donald Lim rebut Timbalan Presiden MCA, saingan 3 penjuru

PULAU PINANG: Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai hari ini mengumumkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan MCA 18 Oktober ini.

"Selepas melawat lebih daripada 80 peratus bahagian MCA dan bertukar pandangan dengan akar umbi parti, saya memutuskan untuk menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan Timbalan Presiden," kata bekas Timbalan Menteri Pelancongan itu ketika mengumumkan hasratnya itu.

Bercakap pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini, katanya, keputusan untuk bertanding jawatan nombor dua parti adalah untuk melakukan pembaharuan dalam MCA, satu usaha bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi kembali hati dan pemikiran masyarakat Cina.

Dengan pengumuman itu, jawatan nombor dua parti akan menyaksikan saingan hebat tiga penjuru dengan dua lagi calon adalah Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ong Ka Chuan serta bekas Naib Presiden MCA dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Lim dipilih sebagai Naib Presiden MCA pada pemilihan parti 2005 dengan menduduki tempat keempat dalam perebutan empat jawatan naib presiden.

Lim merupakan antara ramai pemimpin MCA yang gagal ke Parlimen setelah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Sumber-sumber parti mendedahkan bahawa Lim memutuskan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas perbincangan antara beliau dan Dr. Chua gagal mencapai kata sepakat dua hari lepas.

Jawatan Presiden parti akan menyaksikan pertandingan antara Naib Presiden parti Datuk Ong Tee Keat dan bekas Naib Presiden Datuk Chua Jui Meng.

Ka Chuan dikatakan menyokong Tee Keat manakala Dr. Chua pula dikatakan menyokong Chua.

Ditanya kenapa beliau memutuskan bertanding jawatan lebih tinggi pada pemilihan parti, Lim berkata: "Saya kini Naib Presiden, jadi adalah perkara biasa untuk saya bertanding jawatan lebih tinggi dan saya memutuskan bertanding jawatan Timbalan Presiden."

Katanya, ia hanyalah spekulasi bahawa beliau bergandingan dengan Dr. Chua pada pemilihan parti akan datang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain