suria

Gerakan: Akta Hubungan Kaum tidak perlu

KUALA LUMPUR: Akta Hubungan Kaum tidak perlu diperkenal memandangkan negara berada dalam keadaan aman damai sepanjang kemerdekaan negara selama 51 tahun ini, kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Tan Lian Hoe, hari ini.

Beliau berkata, idea mewujudkan akta itu tercetus kerana terdapat segelintir individu yang menggunakan isu perkauman untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kesejahteraan negara.

"Keadaan ini tidak baik untuk negara kita yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu suasana aman damai ini harus diperkukuh melalui sikap hormat menghormati sesama kita (kaum) seperti yang telah dipupuk sejak zaman nenek moyang kita lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keusahawanan Global di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Tan yang juga Ketua Wanita Gerakan berkata, isu-isu perkauman patut dihentikan iaitu setiap anggota masyarakat termasuk pemimpin politik perlu bersikap lebih terbuka dengan melihat setiap kaum di negara ini adalah anak Malaysia.

"Kita harus memperjuangkan bangsa Malaysia sebagai satu keluarga besar di mana kita jangan lagi memperkenalkan diri kita sebagai anak Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain.

"Sudah sampai masanya kita memperkenalkan diri (kita) sebagai anak Malaysia atau bangsa Malaysia untuk melihat kedamaian dan kesejahteraan negara terus dipelihara," katanya.

Tan berkata, pengenalan diri mengikut kaum masingmasing secara tidak langsung mendorong ke arah membahagi-bahagikan rakyat kepada kaum.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai pernah mencadangkan akta seperti itu digubal sebagai satu mekanisme untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat Malaysia berbilang kaum memandangkan isu-isu perkauman sering berbangkit akhirakhir ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar pada 18 September lepas berkata cadangan penggubalan akta itu yang telah dipersetujui Kabinet akan diterajui kementeriannya dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Mengenai keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menunda tarikh perhimpunan agung parti itu ke bulan Mac tahun depan, Tan menyifatkan ia sebagai tindakan yang bijak bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal. BERNAMA

Artikel Berikut

574 produk disahkan bebas Melamine

Artikel Lain