suria

Umat Islam Malaysia di UAE sambut Aidilfitri hari ini

DUBAI: Umat Islam Malaysia yang berada di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menunaikan solat Aidilfitri hari ini, menyertai umat Islam di negara-negara Teluk yang lain di Timur Tengah meraikan Hari Raya, menandakan berakhirnya Ramadan.

Di Dubai, rakyat Malaysia berkumpul di pusat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk menunaikan solat Aidilfitri yang diimamkan oleh Shushilil Azam Shuib, Pengarah Wilayah Pusat Promosi Pendidikan Malaysia (MEPC).

Lelaki dan kanak-kanak berbaju Melayu yang berwarnawarni serta bersongkok meraikan hari kemenangan itu dan saling memberikan ucapan Selamat Hari Raya di antara satu sama lain.

Bagi kaum wanita Malaysia, mereka anggun bergaya dengan busana tradisional baju kurung dan kebaya serta bertudung.

Antara yang hadir menunaikan solat di pusat itu adalah beberapa ketua jabatan dan agensi Malaysia yang berpangkalan di UAE.

Keriangan menyambut Aidilfitri berterusan dengan ramai rakyat Malaysia menjemput rakanrakan dan kenalan ke rumah terbuka di sekitar Dubai untuk menikmati juadah Malaysia, menunjukkan amalan rumah terbuka dan kunjung mengunjung hidup subur meskipun di negara padang pasir.

Rumah terbuka Shusilil Azam diadakan sejurus selepas solat Aidilfitri menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang berada di sini, bersyukur mereka masih dapat menikmati hidangan dan juadah Malaysia meskipun berada jauh beribu batu dari tanah air.

Sementara itu, Naib Presiden UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang juga Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai menunaikan solat Aidilfitri di Grand Eid Mussallah di Bur Dubai.

Jawatankuasa melihat anak bulan Syawal mengumumkan malam tadi bahawa UAE menyambut Aidilfitri hari ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain