suria

Senat undi malam ini dijangka selamatkan pelan krisis ekonomi RM24 trilion

WASHINGTON: Dalam usaha terbaru menyelamatkan pelan kecemasan ekonomi Presiden George W. Bush bernilai lebih RM2 trilion, Senat Amerika Syarikat (AS) dijadual mengundi malam ini (awal pagi esok waktu Malaysia) terhadap undang-undang yang disemak semula.

Undang-undang yang dipinda itu membolehkan potongan cukai pada jumlah yang besar bagi memenuhi kehendak anggota Republikan apabila ia dibawa ke Dewan Perundangan kelak.

Usaha itu juga membawa sedikit nafas baru di pasaran dunia hari ini.

Matlamat usaha terbaru ini ialah memperoleh sekurang-kurangnya 12 undi sokongan berbanding jumlah yang menyokong kelmarin, apabila Dewan Perwakilan menolak undang-undang berkaitan pelan asal.

Bagaimanapun pemerhati melihat potongan cukai pada jumlah yang besar akan membangkitkan kemarahan di kalangan anggota Demokrat yang konservatif di Dewan Perwakilan.

Pun begitu strategi Dewan Senat dijangka akan memperoleh lebih banyak sokongan kelak berbanding penolakan atau kekalahan buat kali kedua.

Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi berkata, Dewan Senat telah membuat keputusan bagaimana ia boleh mengatasi halangan-halangan yang wujud, dan ia akan mengundi esok (hari ini).

Kongres akan bertindak mengikut keperluan kelak, kata pemimpin Demokrat ini.

Pendekatan baru ini diumumkam malam tadi (awal pagi waktu Malaysia) oleh pemimpin majoriti di Dewan Senat, Harry Reid dan pemimpin minoriti, Mitch McConnell.

Undang-undang baru Senat akan menaikkan had insurans deposit persekutuan sehingga AS$250,000 daripada AS$100,000 sebagaimana digesa kedua-dua calon Presiden Barack Obama dan John McCain beberapa jam sebelum itu.

Kelmarin, usaha Bush untuk menyelamatkan krisis kewangan negara itu daripada menjadi lebih teruk terbantut ekoran keputusan Dewan Perwakilan AS menolak pelan kecemasan bernilai kira-kira RM2.4 trilion (AS$700 dolar).

White House mengusahakan pelan berkenaan untuk mengatasi krisis kewangan yang dilihat sebagai paling buruk sejak kemelesetan dunia pada 1930.

Malah, keputusan itu juga mengejutkan kerajaan, Wall Street dan pasaran seluruh dunia.

Pemerhati-pemerhati pula melihat perkembangan terbaru itu akan mencetuskan kebimbangan baru di kalangan masyarakat dunia.

Perkembangan terbaru itu juga dilihat sebagai satu kegagalan buat Bush yang berusaha mendapatkan sokongan negaranya - termasuk kedua-dua calon Presiden - bagi keluar daripada masalah terbesar sepanjang lapan tahun beliau berada di White House.

Pelan asal itu menerima undi bantahan 228 berbanding 205 yang menyokong, dengan 133 anggota Republikan membantah usaha Bush bersama 95 anggota Demokrat.

Usaha tersebut disokong oleh 140 anggota Demokrat dan 65 anggota Republikan.

Ia sekali gus memaksa pentadbiran Bush, yang akan mengakhiri kepimpinannya selama lapan tahun Januari depan, memfokus untuk tampil dengan strategi baru hari ini. Agensi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain