suria

97 ketua Umno bahagian menang tanpa bertanding

KUALA LUMPUR: Seramai 97 ketua Umno bahagian telah menang bertanding selepas cawangan-cawangan selesai mengadakan mesyuarat tahunan bulan lalu.

Umno mempunyai 191 bahagian keseluruhannya.

"Sehingga tamatnya persidangan cawangan, 97 bahagian telah disahkan memberi jawatan Ketua Umno bahagian tanpa bertanding daripada 191 bahagian Umno yang terdapat di Malaysia," kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam.

Kesemua bahagian akan mengadakan persidangan perwakilan masing-masing mulai 9 Oktober ini.

Bahagian-bahagian perlu selesai mengadakan persidangan menjelang 9 November.

Pada persidangan itu, pemilihan bahagian akan diadakan di samping menamakan calon bagi jawatan-jawatan peringkat pusat.

Turut menang tanpa bertanding ialah Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar setelah pencabarnya. A. Malek A. Rahman digantung keahliannya kerana terlibat politik wang.

Keputusan menang tanpa bertanding itu ekoran ketetapan Lembaga Disiplin Umno yang diumumkan semalam, memutuskan A. Malek digantung keahlian selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan. Sementara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Tengku Adnan berkata, keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menangguhkan Perhimpunan Agung Umno dari Disember ini ke Mac depan tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, beliau berkata, penangguhan itu yang dibuat pada mesyuarat khas MT 25 September lalu adalah berdasarkan kepada kuasa kuasa yang diberikan oleh perlembagaan kepada MT di bawah Fasal 10.17.

Fasal tersebut memberi MT hak untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian serta cawangan dan penangguhan tersebut tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

Perkara yang dipertikaikan ialah terhadap keputusan sebelum ini yang telah menangguhkan 18 bulan persidangan kesemua pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian termasuk Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan pada Disember 2008 dan ditangguhkan lagi pada Mac 2009, katanya.

Tengku Adnan berkata, kesemua pemegang jawatan di peringkat Umno Cawangan dan Bahagian telah dipilih dalam persidangan antara bulan Jun dan Julai 2004 dan Perhimpunan Agung pada bulan September 2004.

Beliau berkata, kesemua pemegang jawatan tersebut yang dikira daripada Umno cawangan akan tamat pada Jun 2007 dan Umno bahagian pada Julai 2007 serta anggota Majlis Tertinggi (MT) pada September 2007.

Perhimpunan Agung Umno yang sepatutnya diadakan pada 2007 telah ditangguhkan 18 bulan bererti akan tamat pada Mac 2009, di peringkat Umno cawangan yang telah tamat pada Jun 2007 dan ditangguhkan 18 bulan akan berakhir pada Disember 2008 manakala di peringkat Umno bahagian akan berakhir pada Januari 2009, katanya.

Tengku Adnan berkata disebabkan itu, MT tidak boleh memberikan sambungan kepada persidangan Umno bahagian kerana tidak ada keperluan penangguhan lagi memandangkan masa yang diberikan hampir sama tarikh luput pemegang jawatan pada bulan Januari 2008.

"Diharapkan dengan penjelasan ini, tidak terdapat lagi keraguan dan perdebatan sama ada keputusan itu bercanggah dengan Perlembagaan Umno atau di bawah akta Pendaftaran Pertubuhan," katanya.

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain