suria

Gerakan, parti perosak boleh keluar BN jika mahu

GEORGE TOWN: Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mahu Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon membuat pendirian yang jelas berhubung kedudukan partinya dalam perikatan tersebut.

Pandangan itu diberikan ekoran kenyataan Koh semalam, yang mengulangi bahawa Gerakan sedang mempertimbangkan tiga opsyen - termasuk meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat.

Satu lagi opsyen ialah memainkan peranan di luar BN sebagai parti Bebas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sewajarnya menentukan arah tuju parti pimpinannya.

"Sebagai seorang pemimpin, beliau harus bertanggungjawab ke atas kedudukan perikatan. Beliau perlu menetapkan arah tuju dan menjelaskan pendiriannya, lebih-lebih lagi ikan akan mereput bermula dari bahagian kepalanya.

"Saya kesal kerana kita mempunyai parti perosak dalam Barisan. Bahagian ini boleh keluar jika hendak bertindak demikian," katanya.

Semalam Koh ketika ditemui wartawan di ibu negara berkata: "Kami tidak menolak sebarang kemungkinan (meninggalkan BN) pada waktu ini. Kami perlu menilainya tetapi tidak menolak pintu (kepada kemungkinan itu)."

Koh menjelaskan, pihaknya tidak mengatakan Gerakan akan pasti meninggalkan BN buat masa sekarang.

"Ia adalah sesuatu yang perlu kami menilai tetapi kami tidak boleh melakukannya kerana sentimen semata-mata," kata beliau selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Gerakan Wilayah Persekutuan di sini semalam.

Jelas beliau, jika bertindak atas sentimen semata-mata, lebih 60 peratus mahu parti tersebut meninggalkan BN.

Malah semalam lebih 20 ahli Gerakan Wilayah Persekutuan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan lebih ramai dijangka berbuat demikian dalam beberapa minggu akan datang.

Bekas Ketua Biro Penerangan Gerakan Wilayah Persekutuan, Gan Kok Keng berkata, sekurang-kurangnya 300 orang dari empat bahagian bakal menyertai parti pembangkang tersebut.

Bahagian-bahagian itu ialah Setiawangsa, Wangsa Maju, Bukit Bintang dan Kepong.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datuk Lau Chiek Tuan berkata, Koh juga perlu menyatakan pendirian peribadinya dalam isu tersebut.

"Jangan berlindung di sebalik pandangan-pandangan ahli. Beritahu kami apa yang anda mahukan, anda merupakan pemangku presiden parti.

"Bagi kami, kami mahi kekal bersama Barisan," kata beliau.

Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong pula memberitahu, Gerakan seharusnya memberikan masa "satu atau dua tahun" sebelum membuat keputusan.

"Kesemua parti komponen Barisan sedang melalui masa penuh dugaan. Biar kita menunggu peralihan kepimpinan dalam Umno untuk melihat sama ada hubungan di kalangan parti-parti komponen boleh diperbaiki ataupun tidak.

"Pilihan raya umum akan datang kemungkinan diadakan pada 2012.

"Kita boleh memanggil perhimpunan agung tergempar dalam tempoh satu atau dua tahun ini jika kita mahu keluar Barisan," katanya.

Artikel Lain