suria

Susilo terus unggul dengan perolehan 61.7 peratus undi

JAKARTA: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono terus unggul dalam jumlah pungutan undi pada pilihan raya presiden Indonesia bagi penggal 20092014 dengan mendapat 61.7 peratus daripada hampir 19 juta undi yang sudah dihitung.

Keputusan sementara itu berdasarkan data Komisi Pemilihan Umum (KPU) sehingga pagi ini, 24 jam selepas pengundian yang melibatkan 176 juta pengundi berlangsung di semua 33 wilayah Indonesia.

Susilo yang bergandingan dengan Boediono sebagai calon naib presidennya setakat ini memperolehi 11.54 juta undi.

Saingan Susilo yang juga bekas presiden Megawati Soekarnoputri mendapat 28.6 peratus manakala penyandang naib presiden yang turut menjadi calon presiden kali ini, Jusuf Kalla pula mendapat 9.8 peratus undi.

Keputusan sementara pengiraan undi itu juga menunjukkan Susilo mendahului dua saingannya itu di 22 provinsi, manakala Megawati mendahului di dua provinsi iaitu Bali dan Nusa Tenggara Timur dan Jusuf mendahului di tiga provinsi iaitu Sulawesi Tenggara, Sulawesi Barat dan Gorontalo.

Menurut KPU, enam buah provinsi masih belum mengirimkan keputusan pengiraan undi di kawsan masing-masing.

Semalam 171 juta pengundi berdaftar di seluruh Indonesia dan kirakira lima juta lagi warganegara Indonesia yang berada di luar negara berpeluang mengundi untuk memilih secara langsung presiden mereka untuk tempoh lima tahun ke depan.

Di seluruh Indonesia saja KPU menyediakan lebih 451,000 pusat mengundi yang dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan jumlah undi bagi setiap pasangan calon serta keputusan pemenangnya dijangka hanya akan diketahui selepas 20 hari iaitu di akhir bulan Julai.

Keputusan sementara yang disiarkan KPU didapati tidak jauh berbeza daripada keputusan segera yang diperolehi melalui kaji selidik 'quick count' yang dijalankan oleh enam lembaga kaji selidik tempatan Indonesia, yang juga menunjukkan Susilo mendahului dengan undi yang diperolehi antara 57.95 peratus hingga 61.11 peratus.

Bagaimanapun hasil sementara pengiraan undi KPU itu mahupun hasil quick count lembaga kaji selidik tidaklah mudah untuk diterima oleh saingan-saingan Susilo yang dilaporkan media massa tempatan kini giat mencari kesalahan, kejanggalan dan dakwaan penyelewengan sepanjang proses pengundian.

Sebelum ini pasukan kempen Jusuf dan Megawati mendedahkan beberapa kesalahan dalam daftar pemilih tetap (daftar pengundi), yang antara lain mendakwa berbelas juta rakyat rakyat yang layak didapati tidak terdaftar di samping wujud pendaftaran berganda serta pendaftaran nama orang yang sudah mati dan juga kanak-kanak.Dengan data quick count yang menunjukkan Susilo mendapat lebih 60 peratus undi dan juga mengatasi lawan-lawannya di 22 provinsi (melebihi separuh daripada jumlah 33 provinsi), banyak pihak yakin bahawa Susilo akan menang mudah dan KPU tidak perlu menjalankan pilihan raya presiden pusingan kedua.

Pada pilihan raya presiden 2004, Susilo mengalahkan Megawati dengan mendapat 60 peratus undi dalam pengundian pusingan kedua untuk muncul sebagai presiden Indonesia yang pertama dipilih secara langsung oleh rakyat.

Kini sudah ada penyokong Susilo yang mendesak penyandang presiden kelahiran 9 Sept 1949 di Pacitan Jawa Timur itu segera mengumumkan senarai kabinet barunya untuk penggal 20092014 dengan mengenepikan menteri-menteri yang dikaitkan dengan rasuah, selaras dengan ketegasan beliau memerangi rasuah.

Susilo bagaimanapun subelum ini beberapa kali menegaskan bahawa tempoh perkhidmatan kabinetnya dengan Jusuf sebagai naib presiden akan diteruskan sehingga Oktober ini. BERNAMA

Artikel Lain