suria

176 juta rakyat Indonesia mengundi pilih Presiden hari ini

JAKARTA: Seramai 176 juta rakyat Indonesia yang layak mengundi bertumpu ke pusat-pusat pengundian di seluruh negara hari ini untuk "mencontreng" (mengundi) bagi memilih presiden dan naib presiden daripada tiga pasangan calon yang bertanding bagi tempoh 2009-2014.

Lebih 451,000 pusat pengundian, kebanyakan daripadanya berbentuk khemah-khemah sementara yang didirikan di tempat awam dan kawasan lapang, dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Pusat-pusat pengundian itu, yang setiap satunya menampung antara 200 dan maksimum 800 pengundi, ditempatkan berdekatan tempat tinggal penduduk sehingga membolehkan mereka keluar mengundi hanya dengan berjalan kaki.

Turut berjalan kaki ke pusat pengundian ialah penyandang Naib Presiden Jusuf Kalla, yang juga menjadi calon presiden kali ini, dan mengundi dekat kediamannya di Taman Suropati, Menteng di sini.

Calon naib presiden gandingan Jusuf, Wiranto pula mengundi Bambu Apus, Cipayung di Jakarta Timur.

Seorang lagi calon presiden Megawati Soekarnoputri pula mengundi di Kebagusan, Pasar Minggu, Jakarta Selatan dan calon naib presiden gandingannya, Prabowo Subianto mengundi di Kampung Gombong, Babakan Madang di Bogor.

Penyandang presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang mempertahankan kerusinya pula mengundi dekat kediamannya Cikeas di Bogor dan calon naib presiden gandingannya, Boediono mengundi di Kompleks Universitas Gadjah Mada, Sleman di Yogyakarta.

Tinjauan BERNAMA ke beberapa pusat pengundian di sekitar Jakarta mendapati proses demokrasi itu berjalan dengan aman dan teratur, malah tanpa sebarang kesesakan lalu lintas yang setiap harinya sudah sebati dengan Jakarta, lantaran hari ini merupakan hari cuti umum bagi Indonesia.

Para pengundi di sini juga kelihatan begitu santai, tidak perlu beratur untuk mendapat giliran menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara kerana banyak petak mencontreng disediakan di setiap pusat pengundian, malah di beberapa pusat pengundian dihiburkan pula oleh dendangan lagulagu 'evergreen'.

Jumlah pengundi berdaftar bagi pemilihan langsung presiden Indonesia kali ini bertambah 5.1 juta orang berbanding pilihan raya umum (pemilu) legislatif/parlimen 9 April lepas, yang menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU/ seperti Suruhanjaya Pilihan Raya di Malaysia) disebabkan oleh beberapa faktor.

Sebahagian daripadanya merupakan pengundi baru yang pertama kali mendaftar, bekas anggota polis dan tentera yang baru pencen dan menjalani hidup sebagai orang awam, pengundi yang terdiri daripada rakyat Indonesia yang baru pulang dari luar negara dan pengundi yang sebelumnya tidak terdaftar pada pemilu legislatif.

Keputusan rasmi pemenang presiden dan naib presiden Indonesia dijangka diketahui akhir bulan ini, namun keputusan hasil hitungan secara 'kiraan pantas' dalam bentuk peratus sokongan yang dikumpul oleh beberapa lembaga survei dijangka dapat diketahui hari ini atau esok.

Indonesia yang kini berpenduduk 232 juta orang, mengadakan pilihan raya umum untuk kali ke-10 tahun ini, sejak yang pertama pada tahun 1955 selepas merdeka daripada penjajahan Belanda pada tahun 1945.

Namun pemilihan langsung presiden dan naib presiden oleh rakyat melalui pilihan raya baru kali kedua dijalankan kali ini, selepas yang pertama pada tahun 2004. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain